Sabah akan menggunakan pesawat yang disewa khas untuk bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.
Mereka jelas sekali mahu memastikan pemain bebas daripada risiko dijangkiti Covid 19.
Sabah Kurniawan Dwi Yulianto, Ketua Jurulatih Sabah berkata, walaupun ketika ini kes Covid-19 di Sabah menunjukkan peningkatan, namun pihaknya tidak bercadang meminta penangguhan bagi perlawanan terbabit.
Beliau berkata, pemainnya juga patuh dengan arahan untuk mengurangkan sebarang aktiviti di luar rumah susulan peningkatan kes yang mendadak di bahagian timur Sabah.
“Semuanya masih berada dalam keadaan baik setakat ini buat pasukan Sabah dan tiada pemain kami dijangkiti Covid-19 malah kami sendiri ada melakukan langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pemain.
“Sebelum kami berangkat, kami sudah melakukan ujian swab pada Isnin dan keputusannya, semua pemain negatif Covid-19 dan kami lakukan sekali lagi sebaik kami sampai di sini.
“Saya juga mahu ucapkan terima kasih dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh tuan rumah iaitu JDT,” katanya.
Berbeza dengan pasukan Melaka yang menghantar permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meminta penangguhan kerana sedang menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah yang bermula 28 September lalu sehingga hari ini.
Keadaan itu membuatkan MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, mengumumkan aksi Kedah dan Melaka yang berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Darul Aman, terpaksa ditangguhkan kepada Ahad.
Kurniawan turut menjelaskan situasi pasukannya tidak terjejas dengan perlu melalui banyak prosedur ujian calitan kerana masih boleh menjalani latihan pada setiap hari dan bersedia memberikan tentangan sengit kepada JDT yang semakin hampir bergelar juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.
Artikel Penuh : Harian Metro
Foto : Sabah FA