Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), juara bertahan Liga Super dan enam musim berturut-turut tidak akan mengambil mudah ketika pertemuan dengan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Jumaat ini.
Benjamin Mora, Ketua Jurulatih JDT menjelaskan, walaupun pasukannya hanya memerlukan satu mata sahaja untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super yang mereka pegang sejak 2014, namun Sabah berupaya menggagalkan peluang mereka menjulang piala itu awal, jika pemainnya melakukan kesilapan mudah ketika perlawanan.
“Sebagai jurulatih, saya sentiasa mahukan pasukan saya menang semua perlawanan, tetapi secara realitinya, kita tidak boleh untuk sentiasa menang.
“Nilai positif yang kami boleh bawa pada perlawanan seterusnya ialah kita mempunyai peluang yang besar untuk merangkul piala tersebut awal,” kata Mora melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.
“Bermain di padang sendiri dengan kehadiran pemilik kelab (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tentunya akan meningkatkan lagi semangar pemain untuk bermain dengan terbaik,” ujar Mora.
JDT kini mengumpul 23 mata daripada sembilan perlawnan, mendahului kedudukan Liga Super manakala Perak di tempat kedua dengan 17 mata selepas mencatatkan lima kemenangan, dua seri dan dua kekalahan.
Sumber : Bernama
Foto : The Photoshooterz