Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melayani kunjungan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri malam ini. Ia boleh dianggap pertemuan buku dengan ruas apabila kedua-dua pasukan memiliki reputasi tinggi dalam saingan liga musim ini.
JDT mempunyai kejayaan muncul juara liga enam musim berturut-turut, manakala Selangor dengan status pasukan legenda dalam kancah bola sepak negara dan pastinya pertembungan dua pasukan itu dianggap ‘epik’.
Skuad Harimau Selatan memerlukan kemenangan untuk berada dalam keadaan selesa bagi menghampiri kejuaraan liga ketujuh pada musim ini. Dalam pada itu Selangor pastinya mahu menebus kehampaan prestasi tidak menentu yang dialami sejak saingan bersambung 28 Ogos lalu akibat pandemik Covid-19.
Namun Benjamin Mora, pengendali JDT tampak enggan terlalu tertekan dan menyifatkan berharap tuah menyebelahi JDT untuk meneruskan pemburuan kejuaraan liga.
“Kita harap dapat terus mencapai kemenangan dengan Selangor di laman sendiri yang pasti tampak sengit dan sedikit tuah untuk mencapai matlamat mempertahankan kejuaraan liga dengan lebih cepat.
“Kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu memikirkan untuk capai kemenangan dalam setiap perlawanan. Malah harus berwaspada bagi mengelak berlaku kejutan yang sememangnya mahu dielakkan,” kata Mora.
Mora pastinya bakal menurunkan kesebelasannya terbaik untuk berdepan anak didik B Sathianathan. Rangkaian serangan Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Diogo Luis Santo dijangka akan mengemudi jentera serangan.
Posisi bek kanan bakal menyaksikan S Kunanlan akan beraksi di posisi itu kerana Matthew Davies masih dalam proses pemulihan.Kunanlan akan bersama Mauricio Dos Santos, Aidil Zafuan Abd Radzak yang menggalas tugas selaku kapten dan Corbin Ong bagi membentuk keampuhan benteng skuad Harimau Selatan.
Apa pun barisan pemain JDT perlu lebih konsisten dengan memperaga aksi terbaik untuk memastikan kemenangan memihak pasukan itu bagi membuka jalan lebih selesa memburu kejuaraan liga buat kali ketujuh berturut-turut.
sumber : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz