Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora meluahkan rasa gembira selepas anak buahnya berjaya menyerap tekanan Terengganu FC (TFC) apabila berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Mota, 41, menjelaskan lebih manis kejayaan itu semakin menghampiri pasukannya untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

“Saya gembira selepas anak buah berjaya merakam kemenangan berharga tanpa bolos, namun begitu aksi ini agak sukar kerana pemain TFC memberi tekanan hebat kepada kami dengan bermain tempo pantas dan berintensiti tinggi.

“Begitupun, pemain saya berjaya mengawalnya dan mengekalkan formasi pasukan sepanjang perlawanan bagi mempertahankan kelebihan satu gol sekali gus memenangi aksi ini.

“Kita harap dapat terus mencapai kemenangan dengan Selangor di laman sendiri pada aksi seterusnya dan sedikit tuah untuk mencapai matlamat mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan lebih cepat,” kata Mora selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal pemain kelahiran Terengganu dan kebangsaan, Safawi Rasid yang bijak memanfaatkan kesilapan komunikasi benteng pertahanan TFC pada minit ke-5 mengundang padah TFC.

Mora, kelahiran Mexico itu akui peningkatan dipamerkan pemain TFC menyukarkan anak buahnya menembusi benteng pertahanan skuad Penyu itu.

“Pasukan dalam liga di Malaysia telah berkembang begitu juga dengan Terengganu, mereka bukan lagi pasukan sama seperti tahun lalu atau tahun sebelumnya.

“Sebaliknya mereka selalu melangkah di kedudukan terbaik sekali gus mampu meningkat lagi permainan, kami begitu menghargai perkembangan ini kerana kami juga mahu bermain dengan baik,” katanya.

Artikel Penuh : Harian Sukan