Kemenangan Safawi Rasid, penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), merangkul anugerah Gol Terbaik Sedekad daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencetus semangat baharu buatnya untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Pengiktirafan itu disifatkan Safawi sebahai satu penghargaan terbesar buat dirinya kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain dinobatkan pemenang gol terbaik.

Safawi turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mengundi gol menerusi lencongan kaki kirinya. Ketika itu JDT menewaskan penjaga gol Shandong Luneng, Wu Xinghan dari luar kotak penalti dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lepas.

Menurut Safawi, jaringan itu bukan mudah dilakukan lebih-lebih perlu bersaing dengan pemain yang lebih hebat daripada kelab lain.

“Saya bukan seorang pemain yang bagus lagi, cuma saya sentiasa berusaha dan terus melangkah serta bekerja keras kerana ini adalah punca rezeki saya.

“Tapi bagi saya, anugerah ini adalah pencetus semangat baharu kerana bukan senang pemain kita nak dapatkan gol terbaik peringkat tertinggi.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu kemenangan saya menerusi ACL dan ini adalah hadiah untuk peminat di Johor serta Malaysia,” kata Safawi ketika ditemui selepas perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak semalam. Dalam perlawanan itu memihak kepada JDT 1-0 hasil jaringan Safawi pada minit kelima.

Apabila ditanya perkembangan bersama kelab Portimonense SC di Portugal, Safawi berkata, fokusnya kini tertumpu untuk memburu kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut buat pasukannya.

“Saya belum fokus lagi bersama kelab itu (Portugal Portimonense SC) kerana tumpuan kini adalah untuk memburu kejuaraan ketujuh JDT dalam Liga Super.

“Jika ada makluman daripada pihak pengurusan saya akan kongsikan perkembangannya, Insya-Allah kalau ada rezeki, bermain di Johor atau di mana-mana pun tidak kisah,” katanya.

Sumber : Arena Metro

Foto : The Photoshooterz