Aksi longlai pasukan Pahang di awal babak pertama permainan memberikan kemenangan berharga 3-2 buat pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super yang kembali bersambung secara rasmi, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kegagalan menampilkan permainan kemas menghukum skuad Pahang apabila dibolosi dua gol seawal lima belas minit pertama dengan pemain import dari Argentina Leandro Velazquez meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma pada minit keempat.

Pemain muda JDT Muhammad Ramadhan Saifullah yang membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Super bijak memperdayakan barisan pertahanan dan penjaga gol Pahang sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang yang tidak dikawal sebelum sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-35 meletakkan JDT selesa mendahului 3-0.

Namun, skuad Tok Gajah yang turun tanpa kelibat tonggak Mohamadou Sumareh yang tidak menyertai sesi latihan pasukan lebih sebulan, bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan Mohd Faisal Abdul Halim dan Herold Goulon, masing-masing pada minit ke-40 dan minit ke-45.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat permainan yang menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sekali gus kekal gah di persada Liga Super dengan mengumpul 13 mata sementara Pahang jatuh ke kedudukan keenam.