Berdasarkan perkongsian terbaharu bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Aaron Niguez, beliau telah menubuhkan kelab bola sepak baharu, Club Costa City.

Bekerjasama bersama adiknya, Saul Niguez yang sedang hangat diperkatakan akan menyertai Manchester United daripada Atletico Madrid, Aaron Niguez, mereka telah menubuhkan kelab bola sepak berasaskan akademi dan pembangunan bola sepak.

Selepas meninggalkan JDT dan Liga Malaysia pada penghujung musim 2019, pemain sayap menyerang itu telah diumumkan menyertai kelab divisyen dua di Sepanyol, Malaga C.F pada Mac lalu dan kontraknya adalah sehingga penghujung musim ini.

Berpengkalan di Elche di Sepanyol, Club Costa City dengan pengenalan, ‘There is a new team in the city’ itu akan menggabungkan lebih 30 pasukan dan melibatkan lebih 500 pemain termasuk lelaki dan perempuan yang berusia 4 sehingga 18 tahun.

Paling menarik adalah kelab tersebut turut akan menerima tajaan daripada syarikat peralatan dan pembekal barangan sukan terkemuka dunia, iaitu Nike.

“Kami berdua telah merancang projek yang mengujakan dan menarik ini selama beberapa tahun dan kini saya berasa gembira kerana telah dibenarkan untuk mengumumkannya secara rasmi pada hari ini,” kata Saul Niguez dalam kenyataannya.