Telah tersiar berita berkenaan Sumareh dan JDT di dada akhbar Harian Metro malam tadi.
Benarkah tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh bakal memperkuatkan barisan kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) ?
Atau ianya sekadar gurauan seorang pemain Liga Malaysia ? Atau juga cuma untuk memancing sahaja ?
Tanda tanya itu timbul apabila melihat situasi ‘mesra’ pemain sayap Pahang itu dengan pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) di laman Instagram Sumareh semalam.
Perbualan di antara kedua-dua individu berkenaan mengundang komen netizen yang kebanyakannya menyokong jika Sumareh berhijrah ke JDT pada masa akan datang.
Semalam Sumareh dilihat berkongsi gambar jentera mewah yang dipercayai sebuah Mercedes A-Class Hatchback, namun kedua-duanya berbalas komen antara satu sama lain.
Tunku Ismail sempat meninggalkan komen di hantaran terbabit apabila baginda membalas ‘haha’ yang disertakan emoji penumbuk serta emoji hati berwarna biru dan merah yang sememangnya lazim dengan warna pasukan JDT.
Sumareh membalas komen terbabit sambil tertawa dan mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail.
Sebelum ini pada awal musim, rakan baiknya Matthew Davies sudah berhijrah ke pasukan JDT. Kita tidak boleh menolak kemungkinan tersebut jika beliau mahu berganding kembali dengan pemain kacukan berkenaan.
Tanpa berfikir apa-apa, kita anggap sahaja berita itu sebagai satu gurauan Liga Malaysia. Dan juga pemanas badan sebelum Liga Malaysia bersambung semula. Kita tunggu dan lihat nanti.
Artikel Asal : Harian Metro