Sejak 2018 Safawi Rasid penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) memonopoli hampir 12 anugerah secara individu tidak kira di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Maka tidak pelik jika beliau dianggap sebagai pemain bola sepak paling berjaya di Malaysia buat masa ini. Belum lagi nampak ada yang dapat menandingi beliau buat ketika ini.
Buat pertama kalunya Safawi berjaya muncul sebagi pemenang Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, Safawi terus membuktikan kehebatannya dengan mempertahankan trofi sama tahun lalu (2019).
Safawi turut juga dinobatkan pemain terbaik final Piala Malaysia musim lalu dan tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik Piala AFF serta pemain muda terbaik Asia Tenggara pada 2018.
Terkini, pemain terkenal dengan ledakan kaki kiri itu turut berjaya meraih pengiktirafan tertinggi dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila diiktiraf sebagai pemenang gol lencongan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Gol lencongan terbaik itu turut ditandingi oleh pemain lain sejak beberapa tahun sebelum itu, bukan hany setakat 2019.
Dalam saingan merebut anugerah itu, Safawi berjaya mengenepikan bekas pemain hebat Brazil dan Chelsea, Oscar yang hanya mampu menerima 1 peratus berbanding Safawi sebanyak 50 peratus undi dalam talian.
Bagaimanapun, kejayaan demi kejayaan diraih permata bola sepak negara itu masih belum memuaskan hatinya. Beliau berazam untuk terus memperbaiki permainan sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan.
“Saya tak pernah puas dan masih dahagakan kejayaan. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh lagi dan apa yang saya dapat sekarang bukan penyebab untuk saya berhenti.
“Sebaliknya ia membakar semangat saya untuk terus melakukan sehabis mungkin tidak kira sama ada ketika menyarung jersi JDT mahupun skuad negara,” kata Safawi ketika diwawancara Arena Metro
Pencapaian Safawi bersama skuad Harimau Selatan (JDT) juga hebat. Sejak 2017 tidak pernah gagal menjulang mahkota kejuaraan.
Baca juga : Safee Sali Dedahkan Rahsia Pablo Aimar
Beliau mula menyertai JDT dari pasukan T-Team pada penghujung 2016. Sehingga kini, beliau sudah menjulang kejuaraan Liga Super sebanyak tiga kali (2017,2018, 2019), Piala Malaysia dua kali (2017, 2019) dan Piala Sumbangsih tiga kali (2018, 2019, 2020).
Safawi terlepas dari menjulang trofi Piala FA, piala domestik yang belum pernah dijulangnya, kerana belum bersama JDT lagi pada tahun 2016 itu.
Mungkin itu yang diidamkannya selepas ini bagi menambah koleksi trofi beliau.
Di peringkat antarabangsa pula, Safawi telah membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF (2018) serta memenangi pingat perak pada Sukan Sea (2017) di Kuala Lumpur.
Safawi amat berterima kasih kepada penyokong yang banyak memberi sokongan dalam kariernya terutama penyokong setia JDT.
“Penyokong adalah kekuatan saya sejak bermain bola sepak. Tanpa mereka saya tidak akan ke mana-mana dan semua kemenangan ini hadiah untuk mereka yang banyak menyokong saya selama ini,” katanya.
Artikel Asal : Harian Metro
Kredit Foto : The Photoshooterz