Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memohon dan merancang untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga M) pada September ini. Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap perancangan itu sudah pastinya akan dapat membantu pasukan Harimau Malaya mendapatkan aksi kompetitif sebelum mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Memetik dari berita Arena Metro, Aidil menghargai setiap usaha daripada semua pihak termasuk MFL yang terus mencari jalan terbaik agar Liga M dapat terus berjalan pada musim ini kerana mereka sememangnya perlu mendapatkan kembali momentum perlawanan secepat mungkin selepas lebih dua bulan tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

Aksi terakhir Liga-M adalah pada dua bulan lebih yang lepas iaitu 15 Mac 2020. Manakala perlawanan terakhir Harimau Malaya dalam saingan tersebut adalah pada 19 November tahun lepas. Malaysia telah mengharungi 5 perlawanan dengan memperoleh 9 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 2 kekalahan. Malaysia menduduki tangga kedua Kumpulan G dan mempunyai baki 3 perlawanan sahaja lagi.

“Sebelum ini pun saya ada baca komen daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, yang mengatakan Liga-M memang akan membantu skuad kebangsaan untuk pasukan mendapatkan momentum terbaik selain kesan yang kami akan terima seandainya liga tidak dapat diteruskan.” kata Aidil Zafuan.

“Jadi, apabila saya tengok pelbagai usaha yang dilakukan oleh ramai pihak termasuk MFL untuk kita teruskan juga liga, memang ia satu usaha yang bagus apatah lagi kepada kami sendiri sebagai pemain yang semestinya ingin terus beraksi.”Walau bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan masih perlu diutamakan dan saya juga sebagai pemain tidak boleh mementingkan diri sendiri dan banyak aspek yang perlu dilihat untuk memastikan liga terus berlangsung.

“Tak dinafikan, tempoh persediaan agak singkat, tetapi kalau ditakdirkan memang itu sahaja masa yang ada, kita harus fikirkan cara terbaik untuk memastikan persiapan pasukan tetap di tahap terbaik,” katanya.

Tan Cheng Hoe pernah menyatakan perancangannya untuk mengekalkan sebahagian besar pemain utama dalam skuad negara. Namun mungkin ada sedikit perubahan apabila terdapat seorang pemain yang telah diberi kerakyatan dan seterusnya melayakkan pemain itu bermain menggunakan status pemain naturalisasi.

Namun pemain tersebut, Liridon Krasniqi perlu menunjukkan kemampuan beliau dan berjaya meyakinkan Tan Cheng Hoe dipilih ke dalam skuad beliau nanti.

Kredit Foto : Astro Awani