Menurut satu sumber di akhbar sukan Harian Metro semalam, impian tonggak Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid untuk melihat gol lencongan cantiknya dicalonkan ke Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hampir menjadi kenyataan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkannya..

Bagaimanapun, untuk mencapai hasrat tersebut menjadi kenyataan, ia perlu melalui proses penilaian di peringkat dalaman oleh bahagian teknikal FAM. Selepas itu sekiranya mendapat kelulusan barulah pihak FAM akan mencalonkan gol lencongan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu ke peringkat dunia.

Anugerah yang diterima oleh Safawi Rasid itu bukan setakat kejuaraan untuk tahun 2019 sahaja. Ia adalah pencalonan mengikut keseluruhan kejuaraan ACL sejak awal sebelum 2019. Calon yang mengekori rapat Safawi untuk “Best Curlers” itu, adalah Mame Thiam (Esteghlal) yang dicalonkan melalui perlawanan pada tahun 2018 dan Nam Tae-hee (Lekhwiya) diambil dari perlawanan pada tahun 2017.

Untuk anugerah “Best Saves” pula pencalonannya diambil dari perlawanan pada tahun 2012, 2014, 2018 dan 2019. Jadi tidak mustahil gol lencungan Safawi itu layak dibawa ke “Anugerah Puskas”. Ia merupakan pengiktirafan yang tinggi dari AFC.

“Borang pencalonan kepada Fifa boleh diserahkan oleh FAM tanpa sebarang masalah , namun langkah itu haruslah dilakukan bersandarkan kepada merit.” kata Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Timbalan Presiden FAM

Katanya, beliau dan seluruh keluarga FAM cukup berbangga dengan pencapaian bintang JDT apabila berjaya dinobatkan sebagai pemenang gol lencongan terbaik ACL terutama dengan mengenepikan bekas pemain hebat Brazil dan Chelsea, Oscar.

“Berita kemenangan Safawi menunjukkan bahawa sebenarnya pemain Malaysia juga mampu melakukan perkara sama yang dibuat oleh pemain luar negara.

“Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak, bahkan Faiz Subri juga pernah membuktikan kepada dunia apabila muncul pemenang anugerah Puskas Fifa sebelum ini.

Menurut Datuk Mohd Yusoff Mahadi lagi, kita tahu bukan senang nak bertanding dalam anugerah Puskas itu kerana ia membabitkan ribuan gol-gol tercantik di seluruh dunia.

Namun laluan dan pengiktirafan dari pihak AFC juga turut boleh diambilkira. Ia sudah cukup untuk memberi gambaran yang jelas.

“Sekarang muncul Safawi pula dengan gol lencongan menarik yang berjaya memenangi di peringkat Asia.

“Mungkin kita (FAM) akan pertimbangkan untuk mencalonkan golnya ke Fifa dalam anugerah Puskas nanti.

Apapun, kita akan kaji dan lihat keistimewaan gol itu terlebih dulu dan jika ia menepati standard saya kira tak ada masalah untuk kita hantar golnya itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Safawi bersedia sekiranya gol lencongan cantik yang dilakukan ketika menentang kelab dari China, Shandong Luneng itu di bawa ke anugerah lebih berprestij seperti anugerah Puskas Fifa.

Jelas Safawi, gol yang terhasil itu dilakukan cukup sukar dan bukan mudah untuk mana-mana pemain melepaskan rembatan lencong sambil diberi tekanan hingga menyebabkan dia hilang keseimbangan untuk melakukan sepakan itu.

Berdasarkan undian peminat di laman web AFC, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu meraih 50 peratus daripada undian keseluruhan untuk mengumpul sebanyak 159,502 undi sekali gus mengatasi empat pencabar lain termasuk bekas bintang Chelsea, Oscar yang hanya menerima 1 peratus.

Impian untuk melihat Safawi memenangi anugerah Puskas bukan sesuatu yang mustahil apabila sebelum ini pada 2017 menyaksikan Faiz Subri mengejutkan dunia dengan dinobatkan pemenang anugerah itu yang berlangsung di ibu pejabat Fifa di Zurich, Switzerland.

Baca juga : Safawi Tekad Buru Kejayaan Lagi

“Sama ada menang atau tidak di peringkat Fifa nanti itu soal kedua, yang penting adalah dengan kejayaan Safawi itu sekurang-kurangnya menaikkan semangat dan motivasi pemain muda lain untuk jadi sepertinya.

“Malah, ia juga baik buat Safawi dan saya harap dia akan terus meningkat bukan saja bersama kelab diwakili bahkan ketika menyarung jersi negara,” kata Yusoff yang juga pengurus skuad Harimau Malaya.

Kredit Foto : The Photoshooterz