Gol menarik penyerang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng tahun lalu mendapat undian tertinggi sebagai gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Berdasarkan undian yang ditutup lewat petang tadi (4.00 petang) oleh peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), jaringan Safawi mengatasi empat calon lain. Safawi menerima 50 peratus undian daripada 159,502 pengundi. Ia bersamaan hampir 79,751 undian memihak kepada Safawi Rasid.

Safawi menerima cabaran sengit daripada pemain pasukan Esteghlal, Mame Thiam yang menerima 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undian.

Apa yang lebih menarik, Safawi turut mengatasi bekas bintang Chelsea, Oscar dari Shanghai SIPG yang hanya mendapat satu peratus undian.

Turut menerima undian sama seperti Oscar (1 %) adalah Nam Tae-hee dari pasukan Lekhwiya dan Serginho yang mewakili Kashima Antlers.

[ Baca juga : Undian Safawi 17 Jam Sebelum Tutup ]

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Safawi yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya mengharumkan nama Malaysia dan JDT di kejohanan tertinggi Asia.

Jaringan yang sama melalui sepakan lencong dari kaki kiri dari beliau itu juga sebelum ini sudah diundi sebagai jaringan kedua terbaik saingan ACL musim lalu.

Perlawanan menentang Shandong Luneng itu berlangsung pada 9 April 2019. Safawi menjaringkan gol tunggal JDT namun tidak mampu membawa kemenangan kepada JDT. JDT tewas 1-2 dalam perlawanan ketiga saingan ACL 2019 itu si Stadium Olimpik Jinan.

Baca juga : ANTARA 10 PEMAIN MUDA BERPOTENSI DALAM ACL 2019 – AFC

Pada akhir musim ACL 2019 itu juga Safawi mengejar rapat di tangga kedua untuk anugerah gol terbaik musim itu. Safawi bagaimanapun berjaya mengutip 40 % undian berbanding 59 % undian Khalilzadeh, pemain kelab Persepolis yang mempamerkan jaringan lipatan (bicycle kick).

Tahniah kepada Safawi Rasid dan penyokong yang telah mengundi Safawi.