Jaringan menarik penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun lepas, 2019 berpeluang dinobatkan sebagai gol lencongan terbaik sepanjang kejuaraan tersebut.

Berdasarkan undian peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), jaringan Safawi mendahului empat pencabar lain selepas menerima 50 peratus undian daripada 134,767 pengundi pada pukul 11.00 malam ini.

Bagaimanapun Safawi masih belum selesa selepas hanya 3 peratus sahaja, bersamaan dengan 4,043 undian mendahului pencabar terdekat, Mame Baba Thiam dari pasukan Esteghlal, sebuah kelab dari negara Iran.

Cabaran sengit tampak hanya wujud antara dua pemain itu selepas tiga calon lain termasuk bekas bintang Chelsea, Oscar (1 %) yang mewakili Shanghai SIPG, Nam Tae-hee (1 %) dari pasukan Lekhwiya dan Serginho (Kashima Antlers) hanya memperoleh satu peratus dari jumlah keseluruhan undian.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan Safawi yang juga tonggak skuad Harimau Malaya berpeluang besar untuk mengharumkan nama Malaysia dan JDT di kejuaraan tertinggi Asia.

[ Undi Safawi di sini ]

Jaringan sepakan lencong dari kaki kiri yang dihasilkan pemain berusia 22 tahun terbabit pada 9 April 2019 itu juga sebelum ini sudah diundi sebagai jaringan kedua terbaik saingan ACL musim lalu.

Seluruh peminat dan penyokong JDT khususnya masih mempunyai masa untuk mengundi jaringan Safawi sebelum AFC menutup proses undian jam 4 petang esok, 16 Mei 2020.

Sumber : AFC dan Berita Harian