Siapa yang tidak mengenali Safee Sali, bekas pemain Johor Darul Ta’zim dan penyerang kebangsaan yang satu masa dahulu digeruni, malah sehingga ke hari ini.
Safee Sali pernah beraksi dan menjulang nama JDT sejak awal penyertaannya pada 2013 sehinggalah ke tahun 2016 sebelum berpindah ke PKNS FC pada tahun berikutnya. Sekarang ini beliau menyarung jersi Petaling Jaya FC untuk tahun kedua.
Banyak kenangan manis di zaman kegemilangan beliau bersama JDT. Sumbangan beliau juga tidak boleh dinafikan ketika 4 tahun bersama JDT.
Sejumlah 23 gol telah dijaringkan oleh Safee dalam masa 4 tahun tersebut. Namun jaringan beliau belum pernah mencapai 10 gol dalam setiap tahun itu. Namun nama Safee tercatat sebagai antara 7 penjaring terbanyak JDT sehingga kini.
Jaringan tertinggi beliau adalah pada tahun 2015 iaitu sebanyak 8 gol. 7 daripada 23 gol jaringan beliau itu adalah dalam saingan Piala AFC.
Menariknya apabila diminta menyenaraikan kesebelasan utama oleh wartawan dari Malaysian Football League (MFL), walaupun sudah meninggalkan JDT agak lama dan selepas itu mewakili PKNS FC serta PJ City, 8 bekas dan yang sedang bemain untuk JDT turut dalam senarai Safee Sali itu.
Safee membariskan Farizal Marlias selaku penjaga gol manakala Asraruddin Putra Omar, Khairul Anuar Baharom, Marcos Antonio dan S Kunanlan di bahagian pertahanan.
Di bahagian tengah pula, beliau memilih Hardi Jaafar, Indra Putra Mahayuddin, Pablo Aimar, Safiq Rahim dan Safawi Rasid.
Bekas penyerang JDT yang kini merupakan pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa menjadi penyerang tunggal pilihan Safee.
Dalam pada itu, Safee turut mendedahkan beraksi dengan Pablo Aimar ketika di JDT juga sebagai satu kenangan manis dalam kariernya. Kenangan itu sama seperti apa yang dirasai oleh Aidil Zafuan yang pernah kami paparkan sebelum ini.
Baca Juga : AIDIL ZAFUAN : BERMAIN BERSAMA PABLO AIMAR ADALAH PENGALAMAN TERINDAH SAYA
“Dia (Pablo Aimar) sememangnya pemain berkelas dunia dan sudah cukup dikenali pada waktu itu sebelum ke JDT, jadi saya cukup teruja.

“Saat tidak boleh lupa ialah tiap kali dalam sesi latihan, memang saya tidak boleh rampas langsung daripada kakinya dan kehebatannya mengawal bola cukup menakjubkan walaupun bertubuh kecil.
“Banyak juga perkara yang saya belajar daripadanya dan kekal sebagai memori manis buat saya sebagai pemain,” katanya.
Sumber : Malaysian Football League (MFL)