Liridon Krasniqi, pemain tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak gembira selepas beliau kini boleh menyarung jersi Harimau Malaya secara rasmi. Beliau turut menjadi ‘harimau import’ kedua negara.

Susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan pemain tengah JDT itu sah bergelar pemain naturalisasi kedua Negara. Liridon Krasniqi dilihat melontarkan kesyukuran menerusi laman Instagramnya beberapa hari lepas.

“Hari ini adalah hari yang baik. Alhamdullilah,” kata Liridon.

Menerusi kemaskini laman Instagram, beliau turut menyertakan bendera Malaysia, ’emoji’ tangan dan muka tersenyum berkemungkinan berpunca daripada berita baik itu.

Kini, penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat Liridon atau lebih mesra dipanggil Mat Don menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini yang mengesahkan FAM sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkhabaran itu sudah pasti menimbulkan perasaan tidak sabar seluruh peminat untuk melihat pemain kelahiran Kosovo itu menggalas tugas selaku perancang tengah baharu skuad kebangsaan di bawah pimpinan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Sebelum itu, pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh adalah pemain naturalisasi pertama negara. Sumareh ketika ini bermain mewakili Pahang sejak 2017. Sebelum itu pernah bermain untuk pasukan PDRM dan Perlis sejak 2013 lagi.

Liridon Krasniqi pula baru menyertai JDT pada musim ini, 2020. Beliau mula menyertai saingan Liga Malaysia pada tahun 2015 mewakili pasukan Kedah sebelum bermain untuk Melaka United pada musim lepas.

Ketika bermain untuk JDT musim ini, Liridon telah membuat penampilan sebanyak 3 kali kesemuanya dalam saingan Liga Super melalui perlawanan menentang Kedah, UiTM dan PDRM. Beliau telah bermain selama lebih kurang 90 minit. Paling lama beliau beraksi menentang PDRM pada 10 Mac lepas.

Sebelum ini Liridon Krasniqi telah disahkan memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi pada awal Februari lepas. Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut berkata Liridon, berasal dari Kosovo itu sah menjadi warganegara Malaysia, selepas menerima kad pengenalan (MyKad) di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Stuart Ramalingam semalam turut memaklumkan skuad Harimau Malaya dijangka meneruskan tiga perlawanan pusingan kedua kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini. Namun tarikh rasmi masih belum diputuskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, ia bukan tiket untuk dipilih terus mewakili negara kerana perlu juga mendapat persetujuan daripada jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe.

“Kita menilai pemain daripada persembahan terkini dan berharap Liridon memenuhi kriteria yang ditetapkan.”

Sumber : Berita Harian