Pada Jumaat lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan perubahan format Liga-M 2020 setelah mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
MFL selaku pentadbir Liga-M telah merancang untuk meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga bermula 01 September, dan bakal berakhir pada 27 September ini.
Manakala saingan Piala Malaysia pula dijangka akan berlangsung pada 17 Oktober hingga 7 November. Saingan Piala FA dan Piala Cabaran pula terpaksa dibatalkan susulan kekangan masa yang dihadapi.
Usaha MFL untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang sebelum ini terpaksa dihentikan susulan penularan wabak COVID-19 itu mendapat beberapa reaksi dari pihak pengurusan dan pemain-pemain. Rata-rata ramai bersetuju dan memuji pihak MFL itu.
Ia adalah langkah terbaik yang boleh diambil oleh MFL sekiranya tidak mahu Liga Malaysia dibatalkan untuk musim ini.
MFL telah memperkenalkan format separuh liga bagi saingan Liga Super 2020 yang dijangka kembali bersambung pada September ini.
Selepas empat perlawanan, sebelum Liga Super dihentikan, JDT masih mengungguli carta Liga Super dengan kutipan 10 mata, manakala Perak berada di tangga kedua setelah mengumpul lapan mata.
Menurut Ketua Pasukan Perak, Shahrul Mohd Saad, beliau optimis skuad Perak mampu meraih keputusan positif dalam baki tujuh perlawanan liga bagi memberi saingan sengit kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Namun apa yang akan menjadi kuncinya nanti ialah sejauh mana cepatnya pemain boleh mendapatkan kecergasan selepas berehat panjang sejak beberapa bulan, jadi perkara ini menimbulkan sedikit kebimbangan.
Pencapaian terbaik Perak adalah muncul naib juara Liga Super pada musim 2006/2007 dan 2018.
Skuad ‘The Bos Gaurus’ memburu slot automatik ke kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021.
Sumber : Bernama