Perkembangan terkini Covid-19 Malaysia pada 07 Mei 2020 telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah petang tadi pukul 4.30 petang. Laporan penuh boleh diperolehi di kpkesihatan.com .

Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga turut selari memberikan data Covid-19 terkini sehingga pukul 12.00 tengahari tadi.

LAPORAN PESAKIT COVID-19 NEGERI JOHOR :
KES POSITIF BARU :

** Tiada Kes Baru di Johor untuk 5 hari berturut-turut ini sejak 3 Mei lepas. Jumlah kumulatif kes positif di Johor adalah kekal  667 kes. Kes positif di Johor merupakan 10.3 peratus daripada kes keseluruhan di peringkat negara (6,467 kes).

* Daerah yang paling tinggi kes positif masih lagi Kluang (222 kes) diikuti dengan Johor Bahru (211 kes). Pusat Kuarantin Johor Bahru sahaja mempunyai 44 kes.

Grafik : Kementerian Kesihatan Malaysia
KES SEMBUH DAN DISCAJ :

** Hari ini merekodkan 11 lagi kes discaj seperti semalam. Jumlah kumulatif kes pesakit yang telah sembuh dan discaj sehingga hari ini adalah 452 kes (67.8 % darpada kes di Johor). Bertambah sebanyak 1.7 peratus hari ini.

KES KEMATIAN :

Tiada Kes Kematian dilaporkan di Johor hari ini buat hari ke 11 berturut-turut menjadikan jumlahnya kekal 18 kes keseluruhan. Kes Kematian tertinggi adalah dari Daerah Segamat iaitu 5 kes.

KES AKTIF (DALAM RAWATAN) :

** Kes Aktif, iaitu yang masih menerima rawatan di hospital adalah 197 kes, kurang 11 kes daripada semalam (208 kes). Ia satu perkembangan yang positif walaupun agak perlahan.

** Sebanyak 2 kes, masih berada dalam ICU seperti keadaan semalam.

ANTARA PERUBAHAN KES-KES DI JOHOR HARI INI :

1 ) KLUANG :

Kes discaj di Mukim Ulu Benut menjadikan jumlah Kes Aktifnya sekarang adalah 54 kes. Ia menunjukkan penurunan buat hari ke 8 berturut-turut sejak Khamis lepas. 27 orang telah dibenarkan pulang dalam masa 8 hari ini. Namun Kes Aktif di Ulu Benut masih yang paling tinggi di Johor. Diikuti dengan Pusat Kuarantin Johor Bahru (40 kes). 

MUAR :

Di Mukim Lenga seorang pesakit telah sembuh dan dibenar keluar begitu juga di Mukim Seri Menanti menjadikan Daerah Muar masih ada 16 Kes Aktif. Menariknya kedua-dua mukim tersebut sekarang ini telah bebas jangkitan dan di jadikan zon hijau.

BATU PAHAT :

Seorang telah dibenar pulang di Mukim Simpang Kanan. Kini Batu Pahat hanya tinggal 5 Kes Aktif sahaja iaitu di Mukim Sri Gading (1) dan Simpang Kanan (4).

KULAI :

Seorang telah dibenar pulang dari Mukim Sedenak menjadikan Kes Aktif di Kulai seramai 18 orang. Mukim Sedenak kini dalam Zon Hijau.

JOHOR BAHRU :

Hanya dua orang pesakit dari Mukim Plentong telah sembuh dan dibenarkan pulang. Kes Aktif keseluruhan di Daerah Johor Bahru kini adalah 73 kes. Di Pusat Kuarantin (import) sahaja masih ada 40 kes yang masih dalam rawatan.

3 mukim telah kembali bersih kepada Zon Hijau iaitu Mukim Lenga (Muar), Sei Menanti (Muar) dan Sedenak (Kulai).