Dalam mengharungi krisis pandemik Covid-19 di negara kita, semua pihak terutamanya Persatuan Bolasepak Negeri-Negeri (FA) sedar betapa pentingnya skuad bola sepak mereka diswastakan di mana mereka patut bergerak secara berasingan sebagai sebuah kelab bola sepak (FC).
Terlalu berharap kepada dana Kerajaan Negeri oleh beberapa FA akan memberi kesan kepada gaji pemain dan pegawai pasukan. Ini dapat kita lihat apabila gaji mereka gagal dibayar atau tertunggak kerana dana kerajaan negeri lebih tertumpu kepada masalah rakyat yang terkesan ekoran Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed melalui akhbar Harian Metro semalam telah mendedahkan hanya tiga kelab yang telah mencapai taraf FC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City) dan Sarawak United.
“Ketiga-tiga kelab terbabit langsung tidak berdepan masalah pembayaran gaji kerana ia dimiliki seorang pemilik bertaraf ahli perniagaan atau tokoh korporat berjaya.” Kata Mohd Firdaus.
“Pemilik kelab tidak semestinya seorang atau dua, ia boleh sampai lapan orang yang bergerak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab. Di situ, mereka boleh membantu antara satu sama lain. Inilah yang seharusnya FA fikirkan dan bantu segera mencari pemilik pasukan.
Amat berbeza dengan beberapa pasukan bergantung kepada dana Kerajaan Negeri yang menyaksikan gaji pemain tidak atau lambat dibayar.
Menurut beliau lagi, “Apabila berlaku Covid-19 ini baru kita nampak, contohnya baru-baru ini isu pasukan Kedah yang sangkut gaji disebabkan penaja lambat bayar dan dana kerajaan negeri yang beri keutamaan dahulu kepada rakyat.
“Tapi bila ada pemegang saham atau pemilik sesebuah pasukan, tahulah mereka macam mana nak buat bagi menangani masalah ini. Pemilik kelab boleh datang daripada individu korporat yang memang mencintai bola dan ada duit.
“Ataupun, mungkin pemilik kelab ini tidak semestinya seorang atau dua, ia boleh sampai lapan orang yang bergerak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab. Di situ, ia boleh membantu antara satu sama lain, jadi inilah yang seharusnya FA fikirkan dan bantu segera mencari pemilik pasukan,” ujar Mohd Rashid
“Pada 22 Mei tahun lalu, akhbar ini secara eksklusif melaporkan, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga M mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula musim 2021.
Walaupun ada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, namun begitu mereka masih terikat dengan Kerajaan Negeri di mana dana pasukan masih dibiayai sepenuhnya oleh pemimpin politik.
Sepatutnya semua FA perlu mendaftarkan pasukan sebagai FC pada September ini, namun jelasnya tempoh akhir terpaksa dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan susulan wabak Covid-19 ini.
“Saya yakin kalau kita dapat menterjemahkan FA kepada FC ini, banyak kebaikan kepada pemain-pemain. Malah, saya percaya menerusi sesi penerangan dan taklimat diberikan kepada semua FA sebelum ini, kita mampu mencapai objektif dengan sasaran 2022 semua pasukan liga tempatan diswastakan,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Kredit Foto : The Photoshooterz