Seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga merupakan seorang penganggur telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Lepau, Pengerang kira-kira 12.30 tengah malam tadi oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan kerana disyaki memuat naik pernyataan dan status jelek menghina polis, Sultan Johor serta Tunku Mahkota Johor melalui Facebook dipercayai milik beliau.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, “Tangkapan dibuat susulan tindakan lelaki tersebut yang memuat naik beberapa pernyataan dan status jelek menghina polis pada laman Facebook.
Polis juga telah merampas satu telefon bimbit daripadanya dan membuat semakan akaun Facebook tersebut. Polis turut mendapati lelaki itu ada memuat naik pernyataan dan status jelek dan penghinaan tersebut.
Ujian saringan air kencing terhadap lelaki tersebut juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, namun didapati tidak mempunyai rekod jenayah.
“Lelaki itu direman empat hari sehingga Isnin ini untuk disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.
Lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menghantar kandungan yang bersifat lucah dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati menerusi Facebook,” katanya.
Sumber : BERNAMA