Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mendedahkan, pemain Kedah sendiri yang bercerita mengenai masalah tunggakan gaji mereka bersama Helang Merah.

Melalui kenyataan Tunku Ismail di laman Instagram milik baginda, hari ini turut meminta persatuan tidak menuding jari kepada pihak lain dalam menangani isu itu selain berhenti menipu penyokong.

“Yang mengadu pemain Kedah FA juga. Saya bersuara untuk semua pemain di dalam negara yang sudah lama menjadi mangsa janji kosong orang politik yang menguruskan bola sepak demi kepentingan peribadi.

“Gaji lambat bukan sebelum COVID-19. Duit bonus Piala FA lambat. Gaji dua bulan lambat, hanya dibayar sebelum perlawanan Piala Sumbangsih.

“Pemain Kedah FA sendiri yang bercerita. Striker (penyerang) import Kedah FA pun mengadu kepada pemain saya,” tulis Tunku Ismail yang turut memuat naik gambar Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris bersama kenyataan itu.

Kelmarin, TMJ menyuarakan pendapat kepada semua pasukan yang mahu melakukan pemotongan gaji pemain akibat COVID-19 terlebih dahulu perlu menyelesaikan hutang tunggakan gaji kepada pemain mereka.

TMJ juga turut menamakan empat pasukan yang terlibat dengan tunggakan gaji. Antaranya Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

Selain itu, TMJ menjelaskan bahawa beliau tiada niat untuk campur tangan dalam urusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terutama membabitkan masalah tunggakan gaji pemain.Sebaliknya, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata beliau bersuara sebagai Penaung Diraja Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Saya bersuara demi pemain yang berhempas pulas setiap tahun untuk bola sepak negara dan penyokong bola sepak tempatan.

“Sebelum ini saya diam. Tapi awak kaitkan JDT dalam kenyataan tadi. Jadi saya terpaksa pertahan kelab saya yang langsung tiada campur tangan dalam hal ini,” kata TMJ yang dipercayai sebagai jawapan balas terhadap kenyataan Asmirul.

Sumber : Berita Harian

Kenyataan yang dikeluarkan oleh TMJ sebelum ini tidak disenangi Asmirul Anuar Aris, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). Asmirul mempersoalkan mengapa JDT ikut campur dalam urusan pengurusan pasukan lain.

Asmirul turut berkata :

“Saya juga mempersoalkan kewajaran JDT untuk campur tangan dalam pengurusan badan gabungan seolah melangkaui FAM?
“Untuk apa tujuan menggembar gembur di dalam media ketika negara gawat dengan wabak COVID19?,” kata Asmirul menerusi laman media sosial Facebook miliknya.

Assalammualaikum..Sekali lagi saya di hujani dengan persoalan berhubung pembayaran gaji pemain melalui media massa…

Posted by Asmirul Anuar Aris on Tuesday, April 14, 2020