Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) baru sahaja selesai menghadapi dua perlawanan di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020. Dalam Kumpulan G, JDT tewas dengan Vissel Kobe (1-5) dan menang melawan Suwon Samsung Bluewings (2-1).
Perlawanan terakhir JDT dalam saingan ACL 2020 adalah pada 03 Mac 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di mana gol-gol Gonzalo Cabrera dan Mauricio Nascimento memastikan kemenangan JDT di laman sendiri.
Namun selepas itu perlawanan berikutnya telah dihentikan dan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akibat pandemic Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Pada peringkat awalnya semua perlawanan yang melibatkan kelab dari China telah ditangguhkan susulan wabak tersebut sedang rancak melanda negara China ketika itu.
Hanya 3 pasukan yang telah bersaing dalam Kumpulan G sehingga kini iaitu JDT, Vissel Kobe dan Suwon Bluewings. Guangzhou Evergrande masih belum mula bermain sehingga kini.
Mengikut laporan BERNAMA, AFC telah memutuskan untuk menangguhkan semua perlawanan dan pertandingan yang dijadualkan berlangsung dalam bulan Mei dan Jun, sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Ini termasuk kejuaraan Piala AFC dan ACL 2020 selain dari pada kejuaraan di peringkat umur.
Penangguhan itu disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Dalam satu kenyataan di sini AFC berkata, keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, para pegawai, peminat dan semua pemegang taruh semasa tercetusnya wabak Covid-19.
“AFC juga akan sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan-kejohanan Kelab AFC dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Kejuaraan AFC dan Piala Peringkat Kumpulan AFC,” katanya.
Badan pentadbir bola sepak piala Asia itu memantau dengan rapi perkembangan wabak Covid-19 dan sebelum ini telah menangguhkan semua perlawanan yang dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai dan Kuala Lumpur.
Foto : The Photoshooterz