Seluruh dunia ketika ini dilanda wabak pandemik COVID-19 menyebabkan perjalanan Liga Malaysia terhenti sehingga ke suatu masa yang belum mendapat kepastian. Ia terjejas sehingga memberi kesan kepada kantung kewangan hampir kesemua pasukan, ditambah pula dengan tiada pendapatan yang diperolehi terutama dari segi kutipan tiket.
Setiap pasukan menerusi pengurusan masing-masing sedang mempertimbangkan untuk memotong gaji pemain mereka. Ini memandangkan kesukaran syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kerana ekonomi yang merudum.
Walau bagaimanapun, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), mengesa setiap pasukan Liga Malaysia segera menyelesaikan hutang tertunggak kepada para pemain dan pegawai mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan pemotongan gaji terhadap pemain mereka.
TMJ telah mengingatkan pasukan yang terlibat itu melalui kenyataan baginda di laman facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
Bayar hutang sebelum potong gaji. Itu peringatan kepada sekurangnya empat pasukan Liga Malaysia (Liga M) iaitu Kedah, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang supaya pastikan segala hutang kepada pemain diselesaikan segera sebelum memotong gaji mereka.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tigers (JST) juga memaklumkan bahawa pemain bersedia memberikan kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan pandemik Covid-19.
Baginda berkata, terdapat tunggakan membabitkan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar oleh pasukan namun menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.
“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.
“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka,” katanya, di sini.
Sebelum itu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi pasukan atau kelab Liga M sebelum mahu membincangkan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain. Ini adalah bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.
Antara syarat yang PFAM sarankan yang perlu dipatuhi pasukan atau kelab adalah wajib menyelesaikan tunggakan gaji sebelum pandemic Covid-19 bermula selain rundingan atau persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain dan bukannya berkumpulan.
PFAM juga mendakwa terdapat majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan kepada para pemain.
Sementara itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa kebanyakan pasukan bergantung 100 peratus peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin masih tidak membayar gaji.
“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz