Menurut laporan dari akhbar Harian Metro Sabtu, 11 April 2020, seekor gajah liar dalam lingkungan usia 10 hingga 15 tahun dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, pada 9 April lalu. Gajah itu dipercayai dari kumpulan gajah Tenggara.
Encik Salman Saaban, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor, berkata siasatan dari pihaknya mendapati gajah tersebut dilihat memasuki kawasan hospital berkenaan pada malam kejadian. Namun kejadian itu tidak dimaklumkan kepada Perhilitan Kluang.
Menurut beliau gajah berkenaan dipercayai menjadikan Hutan Rekreasi Gunung Lambak sebagai kawasan habitatnya.
“Gajah ini tersesat dari kumpulannya yang dikenali dan sering dilihat berkeliaran di kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Empangan Kahang, kawasan penempatan Jalan Padang Tembak dan Mengkibol.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan mungkin menjadi punca gajah ini berani keluar kerana tiada gangguan kesibukan lalu-lintas atau kehadiran manusia di kawasan berkenaan,” kata Encik Salman melalui satu kenyataan kepada media.
Menurut Salman, sebelum itu rakaman berdurasi 47 saat tular di Facebook dan anggota Perhilitan Kluang diarahkan untuk membuat siasatan.
Beberapa hari sebelum itu telah tular seekor gajah liar telah dilihat dan dirakam oleh penduduk setempat berdekatan Taman Seri Impian, dekat Jalan Kluang-Kota Tinggi.
“Kelibat seekor gajah dirakam berhampiran lampu isyarat susur masuk ke Taman Seri Impian (selepas Shell belum siap) Jalan Kota Tinggi jam 12.00 (10 April 2020) tengah malam tadi,” menurut kenyataan yang dimuatnaik di laman tersebut.
Justeru itu, orang ramai dan pengguna jalanraya di laluan tersebut, terutama di laluan Kluang-Kota Tinggi berdekatan Taman Seri Impian dan Gunung Lambak diminta berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sumber : Harian Metro