Sebanyak 118 kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia kepada 4,346 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga 10 April 12.00 tengahari tadi, Covid-19 di Malaysia telah meragut 3 nyawa lagi menjadikan jumlahnya seramai 70 orang. Ia merupakan 1.6 % dari jumlah keseluruhannya.

Sebanyak 222 kes telah discaj (pulih) menjadikan jumlah setakat ini 1,830 kes (42 %). Kes discaj hari ini juga merupakan yang kedua tinggi selepas seramai 236 kes pada 06 April lepas.

Selain itu terdapat 118 kes baharu hari ini menjadikan jumlahnya seramai 4,346 orang kesemuanya. Kes baharu ini juga meningkat 9 kes berbanding dengan semalam (109 kes).

Disamping itu sebanyak 69 kes ICU di mana antaranya 40 kes perlu diberi bantuan pernafasan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu telah mengumumkan pelanjutan dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia disambut baik oleh Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Katanya ia akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memerangi penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan situasi terkini wabak itu, didapati pelaksanaan PKP dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil.

“Ini adalah wajar, sepertimana yang disebut sendiri oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19,” katanya.

Perkembangan hari ini menunjukkan sedikit petunjuk baik di mana jumlah kes discaj melebihi kes baharu. Kes discaj adalah 222 dan kes baharu 118. Hari ini adalah hari keempat rekod seperti itu dan diharapkan ianya berterusan dan bertambah baik. (sila rujuk grafik).

Jika dilihat kadar kes baharu berbanding kes discaj, hari ini mencatat rekod terbaik (paling rendah) iaitu sebanyak 0.53 berbanding pada 06 April (0.56)