Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah mengadakan perbincangan petang tadi untuk mengesyorkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau sebaliknya.
Seterusnya pagi esok Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan taklimat berhubung perkara itu.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selepas taklimat itu, Perdana Menteri dijangka akan mengumumkan keputusan kepada rakyat mengenai status PKP sama ada akan dilanjutkan atau sebaliknya.
“Selepas taklimat esok, Perdana Menteri akan membuat pengumuman apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata semasa sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, pukul 5.00 petang tadi. Pada 4 April lalu, Dr Noor Hisham dipetik sebagai berkata, keputusan syor daripada KKM sama ada PKP perlu dilanjutkan atau sebaliknya akan dibuat pada 10 April ini.
“KKM akan menggunakan data kes yang direkodkan dalam tempoh itu sebagai garis panduan untuk tindakan selanjutnya.
“Kita harap menjelang 10 April, data (kes) sudah ada untuk kita buat keputusan sama ada melanjutkan PKP atau sebaliknya. Kita memerlukan data untuk membuat keputusan.
“Saya boleh membuat jangkaan tetapi realitinya kita perlu melihat kepada fakta dan sains,” katanya pada sidang akhbar harian sebelum ini.
PKP fasa pertama telah dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu, diikuti fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April ini.
Sekiranya ia dilanjutkan, maka fasa berikutnya dijangka bermula dari 15 April hingga 28 April 2020.
Sementara itu, kerajaan telah menetapkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor dilanjutkan sehingga 14 April depan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Simpang Renggam itu sepatutnya tamat hari ini, 09 April 2020.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat hari ini susulan terhadap beberapa perkara yang masih belum diselesaikan.
“Kita setuju sambung empat hari lagi untuk selesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Dua kampung di daerah Simpang Renggam dikenakan PKPD itu adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid melibatkan 3,570 penduduk tempatan (650 keluarga) sejak 27 Mac apabilajumlah kes ditemui.
Dalam tempoh tersebut, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.