Kerajaan negeri akan memberi bantuan tunai secara one-off kepada anak Johor yang terkandas di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata di bawah Inisiatif Ihsan Johor itu, bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi akaun Persatuan Mahasiswa Anak Johor atau Pejabat Hal Ehwal Pelajar IPT.
Beliau berkata bantuan itu diberikan bagi meringankan beban mahasiswa yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing dan terpaksa berjauhan daripada keluarga.
“Penerima yang mendapat manfaat bagi inisiatif ini dianggar 3,000 penuntut,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut BERNAMA, kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah bantuan tunai berkenaan.
Beliau berkata permohonan boleh dibuat melalui dalam talian menerusi http://b.link/bantuanmahasiswajohorcovid19, sebelum atau pada 9 April ini.
Syarat pertama pertama Inisiatif Ihsan Johor ini adalah mahasiswa anak Johor yang lahir di negeri ini dan terkandas di IPT.
Syarat kedua, mahasiswa bukan anak Johor tetapi telah menetap di negeri ini dengan alamat di kad pengenalan dijadikan sebagai rujukan.
Syarat ketiga ialah mahasiswa anak Johor yang menuntut secara aktif di universiti selama tempoh PKP.
Untuk pertanyaan lanjut orang ramai boleh melayari [email protected] atau menghubungi di talian 012-7240060 (Hamdi) atau 012-7659610 (Sollehin).
Sumber : Bernama dan Johor Future Leaders
Grafik : Makmur Johor