Pemain, jurulatih dan kakitangan skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat pemotongan gaji sebanyak 33 % (peratus) untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

Ia diumumkan melalui laman facebook rasmi Johor Southern Tigers pada 29 Mac lepas. Langkah tersebut bertujuan meringankan beban kelab selain membantu pihak yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19.

“Atas dasar perikemanusiaan ekoran penularan wabak Covid-19 yang telah melanda semua lapisan masyarakat, para pemain, jurulatih dan kakitangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini,” Johor Southern Tigers dipetik.

Pasukan JDT merupakan pasukan bola sepak pertama di negara ini yang membuat pemotongan gaji susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga turut mengucapkan tahniah kepada JDT kerana menjadi kelab atau pasukan pertama yang berjaya mencapai persetujuan bersama di antara kelab, pemain dan pegawai pasukan bagi menangani situasi semasa berkaitan penularan wabak COVID-19.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yang berkata sikap tolak ansur yang ditunjukkan para pemain dan pegawai pasukan JDT itu wajar dipuji kerana mereka memahami situasi dan keperluan semasa yang mana pengorbanan perlu dilakukan demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga Malaysia 2020 ditangguh sejak 16 Mac akibat COVID-19, selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak ini.

“FAM sekali lagi berharap agar kelab atau pasukan lain serta para pemain mereka turut dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama seperti dilakukan oleh JDT demi sama-sama menjaga kepentingan industri bola sepak di negara ini.

“Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global ini dan sudah tentu kredit perlu diberikan kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas usaha positif ini dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya,” kata Stuart Ramalingam.

PARA PEMAIN, JURULATIH DAN KAKITANGAN JDT BERSETUJU DENGAN PEMOTONGAN GAJI 33% DAN SUMBANGAN KE TABUNG BENCANA NEGERI…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, March 29, 2020