Berikut adalah petikan kenyataan media Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sebentar tadi pukul 5.00 petang.
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 80 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,321 kes (33.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 7 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 170 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,963 kes.
Sehingga kini, seramai 92 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 63 kes (1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):
- Kes kematian ke-63 (kes ke-3794) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun yang berasal daripada Perlis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac 2020 hingga 24 Mac 2020. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 6 April 2020 jam 11.00 malam.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tersebut.

HARI KESIHATAN SEDUNIA 7 APRIL 2020
Sempena Hari Kesihatan Sedunia pada hari ini iaitu 7 April 2020, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas-petugas perubatan dan kesihatan terutamanya mereka daripada barisan hadapan (frontliners), sama ada sektor Kerajaan, swasta, sukarelawan dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Sekalung penghargaan juga kepada petugas-petugas di belakang tabir yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam memastikan kesiapsiagaan dan kelancaran respons di lapangan.
Sesungguhnya kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan (Every sector is a Health sector). Pada hari ini, kita menyaksikan bagaimana setiap sektor memainkan peranan masing-masing yang kritikal dalam mengurus dan membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
Dalam situasi getir ini, petugas-petugas di barisan hadapan dan belakang tabir sedang bekerja bertungkus lumus tanpa mengenal lelah, namun mereka terus cekal berjuang. Perjuangan ini kita perlu pikul bersama sehingga kita berjaya mengakhiri penularan pandemik ini.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) telah mula dilaksanakan sejak 27 Mac 2020 di beberapa kawasan yang berisiko tinggi.
Tujuan PKPD ini adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, pihak KKM juga ingin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan:
- Tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
- Penjarakan sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
Sumber dipetik dari : https://kpkesihatan.com
