Benjamin Mora, Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), berang apabila barisan pemainnya gagal menampilkan permainan konsisten selepas gagal peluang untuk mencipta kemenangan keempat berturut-turut dengan FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu skuad The Fighters yang menampilkan aksi `luar biasa’ dan nerjaya menghagalkan JDT mengutip mata penuh di laman sendiri.

“Apabila kami tidak beraksi seperti mana yang kami sering lakukan, maka kami akan dihukum dan ia terjadi dalam perlawanan menentang FELDA United. Walaupun kami mengawal perlawanan dan beri tekanan kepada lawan tapi gagal menjaring gol.” ujar Benjamin Mora.

“Jika tidak jaringkan gol dalam permainan bola sepak, apabila berlaku kesilapan tentunya kita akan dihukum. Tiada lagi alasan kenapa kami tidak mendapat tiga mata.

“Apa saya lihat, beberapa kelemahan  perlu diperkemaskan lagi  terutama pemain harus bijak membuat  keputusan dalam situasi yang penting.

“Perlu perkemaskan lagi barisan serangan yang kurang berkesan agar lebih efisien dan bijak memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Malah dalam perlawanan itu juga pemain tidak memberi tekanan 100 peratus berbanding tiga aksi lalu,” kata Mora.

JDT turun tanpa kehadiran penyokong selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak membenarkan peminat hadir susulan penularan jangkitan COVID-19, anak didik Mora membuka tirai jaringan menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-21.

Penjaga gol FELDA United, Mohd Muhaimin Mohamad menjadi hero mengekang JDT dari memenangi perlawanan itu. Beliau turut menghalang Gonzalo Cabrera dari menjaringkan gol dari sepakan penalti yang diperoleh JDT. 

JDT juga turut tidak menurunkan kapten Hariss Harun, Safawi Rasid dan Leandro Velazquez. Hariss Harun difahamkan mengalami kecederaan dan berharap Liga Super yang ditangguhkan ini dapat memberi ruang pulih sepenuhnya. 

“Safawi semakin pulih dan saya jangkakan dia dan Leandro akan kembali menguatkan JDT apabila saingan liga bersambung, agak merisaukan saya keadaan Hariss yang masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut,” kata Mora.

Sumber : Berita Harian

Kredit Foto : The Photoshooterz