Perlawanan kelima Liga Super Malaysia 2020 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri berkesudahan seri 1-1. Johor Darul Ta’zim(JDT) bagaimana pun mendahului pasukan Felda United 1-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad pada minit ke 21 perlawanan.

Jaringan awal JDT itu diperoleh melalui hantaran cantik dari Matthew Davies dari sebelah kanan melorongkan bola kepada Syafiq Ahmad yang hanya menguis bola masuk di dalam gawang tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol Felda United, Muhaimin Mohamad.

Felda United sesekali membuat serangan bahaya ke depan pintu gol JDT namun dapat dipatahkan oleh pertahanan JDT dan Farizal Marlias. Kedudukan kekal 1-0 sehingga akhir separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, Felda United berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Frederic Bulot pada minit ke 52 perlawanan. Frederic Bulot mendapat hantaran cantik dari Nicolas Velez menolak terus bola menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

10 minit selepas itu, JDT memperoleh peluang keemasan untuk mendahului Felda United pada minit ke 62. JDT mendapat sepakan penalty, namun gagal disepak masuk oleh Gonzalo Cabrera. Kedudukan terikat 1-1 sehinggalah ke wisel penamat.

Dengan keputusan seri itu, JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 10 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 1 seri selepas 4 perlawanan. Tempat kedua liga adalah Perak yang seri 1-1 dengan Sabah di Stadium Likas.

JDT turut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 4 perlawanan bersama pasukan Perak dan Selangor. Perlawanan seterusnya bagi JDT adalah melawan Pahang di Stadium Darul Makmur yang pada asalnya dijadualkan pada 03 April namun telah ditangguhkan atas arahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana wabak Covid-19 yang sedang melanda sekarang ini.

Kesebelasan Utama JDT : Farizal Marlias (C), Matthew Davies, Afiq Fazail, Diogo Luís Santo, Gonzalo Cabrera, Nazmi Faiz, La’Vere Corbin-Ong, Fadhli Shas, Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento

Simpanan JDT : Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Aidil Zafuan, Akhyar Rashid, Arif Aiman Hanapi, Liridon Krasniqi

Kredit Foto : Malaysian Football League (MFL)