Ketiadaan Safawi Rasid, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu dalam kesebelasan utama JDT menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan penyokong bola sepak tempatan terutamanya JDT.

Ini selepas pemain kebangsaan itu sekali lagi ‘direhatkan’ daripada membarisi kesebelasan utama ketika aksi ketiga Liga Super menentang PDRM.

Berikut adalah penjelasan diberikan oleh jurulatih skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora :

Bukan ‘digugurkan’ susulan kontroversi yang melandanya, tetapi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid terpaksa diketepikan untuk dua perlawanan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Sebelum itu timbul persoalan sama ada tonggak musim lalu itu berdepan ‘hukuman’ sehingga tidak berada dalam pasukan pada aksi bertemu PDRM dan UiTM FC, minggu lalu.

Mora menambah, “Kita masih menunggu penilaian mengenai tahap kecederaannya. Dia sememangnya bersemangat untuk beraksi semula.

“Tetapi kita perlu menjaga keadaannya sebaik mungkin bagi memastikan apabila dia kembali nanti, dia akan berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Walaupun tanpa Safawi, JDT berjaya mengatasi pertahanan kental PDRM dengan kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan lewat permainan Diogo Santo pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi. Begitu pun, JDT dipaksa berhempas pulas sehingga ke minit 84 untuk memecah kebuntuan jaringan gol.

Malah, pemain yang menjadi tonggak musim lalu itu turut tidak diletakkan dalam barisan pemain simpanan untuk aksi bertemu PDRM sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia benar benar ‘dihukum’ susulan kontroversi yang tercetus minggu lalu.

Dia juga tidak diturunkan pada aksi bertemu UiTM FC minggu lalu tetapi JDT jelas tidak ‘merindui’ pemain itu apabila berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas skuad ‘The Lion Troops’ itu.

Sebelum ini, Safawi dilihat gagal meneruskan rentak konsisten musim lalu apabila bergelut dan gagal memberikan impak seperti yang diharapkan kepada pasukannya.

Malah, kejatuhan prestasinya itu turut mendapat perhatian pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan fokus pemain itu hilang selepas dikatakan berdepan tekanan apabila didesak untuk berkahwin daripada kekasihnya yang juga seorang pelakon, Syifa Melvin.

Kredit Foto : The Photoshooterz

Sumber : Berita Harian