Farizal Marlias , penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), mengidamkan rekod yang lebih baik daripada musim 2018.

Dalam Liga Super 2018, JDT menamatkan musim dengan rekod bolos paling rendah dengan benteng terakhir mereka hanya dibolosi sebanyak sembilan kali. Gol dibolosi itu berlaku dalam 8 perlawanan liga tersebut.

Farizal bukan setakat mahu mengulangi kecemerlangan itu, malah beliau berharap musim ini dapat diakhiri dengan catatan yang lebih baik berbanding dua tahun lalu iaitu bolos kurang dari Sembilan gol.

“Saya harap dapat mengulangi pencapaian pada 2018 di mana kami bolos kurang daripada 10 gol.” kata Farizal kepada Astro Arena.

“Tetapi dalam bola sepak, kita tidak tahu.

Daripada 9 gol bolos itu (2018), Farizal hanya melepaskan 6 gol sahaja. Dua lagi oleh Izham Tarmizi dan 1 gol oleh Haziq Nadzli. Pada musim itu juga Farizal Marlias mencatat rekod bermain 17 perlawanan Liga Super berturut-turut.

Selain itu beliau mencatat 13 pelawanan Liga Super 2018 tanpa bolos (clean sheet).

“Jadi, saya hanya memberikan yang terbaik di dalam dan di luar padang,” katanya.

UiTM muncul sebagai pasukan pertama membolosi gawang JDT ketika tewas 1-2 di Stadium Sultan Ismail, Sabtu lalu.

Menjelang perlawanan di antara JDT dan PDRM di Stadium KLFA malam ini, Farizal menegaskan keperluan untuk pasukannya tetap berhati-hati dengan pasukan bukan pilihan seperti itu.

“Kita tahu PDRM sedang mengalami masalah, jadi peluang yang ada perlu digunakan sepenuhnya.

“Jangan terlalu ambil mudah kerana mereka juga inginkan kemenangan, jadi kami perlu berhati-hati,” tambahnya.

Namun sudah menjadi lumrah Liga Malaysia, setiap pasukan yang menentang JDT akan menampilkan persembahan dan semangat lebih dari 100 peratus.

Kredit Foto : The Photoshooterz