Mohamad Ishak Kunju Mohamad, pengendali PDRM menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata apabila skuadnya menerima kunjungan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta`zim (JDT), di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok dalam aksi Liga Super 2020.
Pengendali PDRM itu berkata, sasaran itu realistik bagi mengelak anak buahnya dari tertekan kerana Harimau Selatan yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut mempunyai barisan serba lengkap di setiap posisi ditambah lima tenaga import. Manakala The Cops hanya memiliki tiga sahaja.
Bagaimanapun, jika anak buahnya berjaya melakukan kejutan ia bonus buat pasukannya. Setakat ini PDRM belum melakar sebarang kemenangan dalam dua aksi awal Liga Super 2020.
“Biarpun sedar skuad JDT sukar disaingi, tapi secara keseluruhannya semua pemain sudah bersedia memperagakan aksi terbaik untuk sekurang-kurangnya mencipta seri lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.” kata Muhamad Ishak.
“Tapi jika berjaya melakar kejutan, saya anggap bonus kerana kami tahu kekuatan JDT, justeru bagi memastikan pemain mampu menyaingi lawan, akan ada sedikit rombakan dalam senarai pemain selain perubahan taktikal,” ujar Ishak.
Pada dua aksi sebelum ini, The Cops hanya mampu seri 0-0 bertemu Sabah sebelum tewas 1-3 kepada Melaka Jumaat lalu.
Ishak turut menyatakan beliau menarik nafas lega selepas penyerang importnya dari England, Antonio German sudah menemui sentuhan jaringan ketika aksi kedua bertemu skuad Hang Tuah.
Sumber : Harian Metro
Kredit Foto : The Photoshooterz