Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020, selepas menang tipis 2-1 ke atas pendatang baharu, UiTM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT, juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2020 itu mengutip enam mata penuh selepas dua perlawanan. JDT melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kedua selepas dua perlawanan.

Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi penyerang import mereka dari Brazil Diogo Luis Santo. Selepas itu pasukan pelawat, UiTM FC menyamakan kedudukan menerusi Victor Nirennold pada minit ke-19.

Bekas pemain kebangsaan Mohd Nazmi Faiz Mansor, menjadi hero malam tadi dan memastikan tiga mata berharga untuk juara Piala Sumbangsih 2020 itu, selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70. Perlawanan itu disaksikan oleh seramai 24,387 penyokong pasukan JDT.

Nazmi Faiz meraikan jaringan gol bersama Liridon dan Matt Davies. Foto : The Photoshooterz

Selepas selesai semua perlawanan kedua Liga Malaysia 2020, JDT menduduki tangga kedua di belakang pasukan Melaka United selepas Melaka berjaya menewaskan pasukan PDRM 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi. Kedua-dua pasukan itu dibezakan oleh jaringan 2 gol.

Kesebelasan utama JDT : Farizal Marlias (K), Matthew Davies, Afiq Fazail, Diogo Luís Santo, Gonzalo Cabrera, Leandro Sebastián Velázquez, Nazmi Faiz, La’Vere Corbin-Ong, Fadhli Shas, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento

Pemain Simpanan : Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Aidil Zafuan, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Liridon Krasniqi

Minit 86 – Adam Nor Azlin ganti Matthew Davies
Minit 58 – Liridon Krasniqi ganti Afiq Fazail
Minit 75 – Akhyar Rashid ganti Gonzalo Cabrera

Kredit Foto : The Photoshooterz