Menjuarai Liga Super Malaysia enam musim berturut-turut adalah satu pencapaian yang menakjubkan. Ia bukan sahaj satu rekod malah ia sukar dicapai oleh mana-mana pasukan setakat ini.
Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta rekod tersebut sejak dari 2014, setahun selepas penjenamaan baru JDT pada 2013. Pada 2013, JDT menduduki tangga ketiga Liga Super, 3 mata di belakang juaranya Lions XII.
Selepas itu JDT tidak menoleh ke belakang lalu berusaha dan berjaya menjuarai Liga Super buat kali pertama dan berterusan sehingga tahun ini. JDT dijangka akan terus berusaha mengekalkan dan meneruskan impiannya musim hadapan.
Pencapaian JDT itu telah menarik perhatian FIFA dan diberi penghargaan atas kejayaan menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia keenam pada tahun 2019.
Presiden FIFA, Gianni Infantino sendiri mengucapkan tahniah kepada JDT.
Dalam sepucuk surat kepada presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Infantino berkata: “Ini adalah, tanpa keraguan, hasil dari usaha dan kerja keras, dan semua orang yang terlibat boleh berbangga dengan pencapaian yang hebat ini.”
“Bagi pihak komuniti bola sepak antarabangsa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan persatuan anda atas bantuan menyebarkan mesej positif bola sepak serta memupuk amalan sukan indah ini yang menyatukan kita semua,” menurut surat yang ditulis oleh Infantino.
Sumber : Media JST.