Perlawanan LS20 Liga Super berlangsung di Stadium Larkin antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melawan PJ City FC berakhir dengan JDT keputusan yang mengejutkan apabila PJ City berjaya menewaskan JDT dengan jaringan 1-0.

JDT seperti perlawanan sebelum ini menurunkan barisan terkuat mereka dengan sedikit rombakan. Mauricio Nascimento tidak diturunkan kerana digantung satu perlawanan. Corbin Ong juga tidak diturunkan. Ini menyaksikan barisan pertahanan dibarisi oleh pemain tempatan, Aidil Zafuan, S. Kunanlan, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke 56, JDT memperoleh sepakan percuma di hadapan pintu gol PJ City di luar kotak penalti namun gagal membuahkan hasil. Sepakan Cabrera dapat ditampan oleh penjaga gol PJ City, Kalamullah. Bola yang muntah itu tidak dapat disudahkan oleh Fadhli Shas.

Sebelum itu Bae Beom-geun dari PJ City mempunyai peluang keemasan betul-betul di hadapan pintu gol JDT, namun dipersia-siakan pada minit ke 50. Itulah peluang terbaik selepas percubaan Washington terkena tiang gol dalam keadaan Farizal Marlias sudah tertewas.

Pada minit ke 63, PJ City memeranjatkan JDT dengan memperoleh gol pendahuluan selepas rembatan kencang dari Washington Brandao gagal diselamatkan oleh Farizal.

Diogo mendapat peluang pada minit ke 73 namun tandukan beliau sedikit tersasar. Seminit kemudian percubaan Diogo sekali lagi dapat diselamatkan oleh Kalamullah. JDT meneruskan asakan untuk menyamakan kedudukan dengan memasukkan Akhyar Rashid pada minit ke 76.

Cabrera dijatuhkan betul-betul di atas garisan kotak penalti pada minit 78. Sepakan Diogo tidak berjaya melepasi gawang gol PJ City.

Sehingga tamat perlawanan, JDT tidak berjaya menyamakan kedudukan. Akhirnya rekod JDT lebur sekali lagi di tangan PJ City di Stadium Larkin malam ini. Rekod perlawanan tanpa tewas musim ini lebur. Rekod tanpa tewas sepanjang Liga Super di Stadium Larkin sejak 2013 juga turut lebur malam ini.

Namun ia tidak menggugat kejuaraan Liga Super musim ini dan enam musim berturut-turut tetap milik JDT.

Selepas perlawanan ini, PJ City melompat naik satu anak tangga di kedudukan ke 8 dan JDT masih kekal tanpa boleh digugat lagi takhtanya.

Tahniah kepada PJ City.

Barisan kesebelasan utama JDT : Farizal Marlias, Aidil Zafuan, Diogo Luís Santo, Gonzalo Cabrera, S. Kunanlan, Hariss Harun (C), Leandro Sebastián Velázquez, Azrif Nasrulhaq, Nazmi Faiz, Fadhli Shas, Safawi Rasid

Foto kredit : The Photoshooterz