Adakah sejarah 5 Ogos tahun lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos bakal berulang malam ini?

Kejutan besar berlaku pada tarikh itu di kubu keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila JDT tewas 1-2 kepada MIFA dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia 2018.

MIFA yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC (PJ City) akan bertandang ke Larkin sekali lagi untuk aksi ke-21 Liga Super selepas perlawanan yang sepatutnya berlangsung Rabu lepas terpaksa ditunda ke malam ini susulan wabak virus influenza yang melanda ramai pemain dan pegawai JDT.

K Devan, ketua jurulatih PJ City sudah pasti mahukan kemenangan atau sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Stadium Larkin lebih-lebih lagi selepas mereka kecundang 0-3 kepada Selangor, Sabtu lalu.

Sekiranya PJ City berjaya mengulangi sejarah manis menundukkan JDT di Larkin, PJ City sekali lagi akan muncul pasukan pertama yang meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan liga musim ini.

Namun bukan mudah kerana berdasarkan persembahan dipamerkan anak buah Benjamin Mora sekarang ini, mereka seakan-akan harimau yang masih kelaparan walaupun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut lebih awal, ketika menentang Melaka United.

Ini terbukti apabila mereka mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini dengan menundukkan Perak 3-0 dan Kuala Lumpur 4-0.

JDT pasti sudah belajar daripada sejarah pahit dikejutkan pasukan PJ City selain mereka juga tidak mahu rekod tanpa kalah dicalar pasukan berstatus kelab, apatah lagi beraksi digelanggang sendiri.

Namun, persoalan adakah PJ City mampu melakar kejutan atau mereka akan menjadi satu lagi pasukan belasahan kepada JDT di penghujung saingan ini hanya akan terjawab selepas aksi 90 minit malam ini.

Artikel asal : Berita Harian