“Kita harap kesihatan pemain-pemain JDT (Johor Darul Takzim) akan segera pulih dan keadaan di sana akan kembali normal,” demikian reaksi jurulatih Petaling Jaya City, K.Devan.
PJ City yang bergelut di zon penyingkiran, sepatutnya menentang skuad juara Liga Super itu malam ini di Stadium Larkin, namun aksi berkenaan telah ditunda setelah beberapa pemain dan pegawai skuad utama JDT disahkan dijangkiti virus influenza beberapa hari lalu.
Bagi Devan, tindakan Malaysian Football League (MFL) menunda aksi tersebut ke 16 Julai adalah tepat kerana isu melibatkan kesihatan tidak boleh dipandang mudah.
“Saya menghormati keputusan yang telah dibuat kerana kita tiada pilihan apabila melibatkan faktor kesihatan ini. Walaupun perkara yang berlaku bukan melibatkan pasukan PJ City, atas semangat kesukanan kita berikan sokongan kepada mereka (JDT) agar masalah ini tidak berpanjangan dan tidak ada perkara lebih serius terjadi.
“Apapun saya sebagai jurulatih tetap positif dan persiapan pemain-pemain saya tetap berjalan seperti biasa dan tidak rasa terjejas pun gara-gara penundaan perlawanan ini,” ujar Devan.
PJ City ketika ini berada di tangga kesembilan dengan 20 mata, lima mata di luar zon penyingkiran dengan baki tiga perlawanan untuk diharungi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa pula menyatakan pihaknya menerima keputusan MFL untuk mengubah aksi menentang JDT diawalkan satu hari iaitu dari 14 Julai kepada 13 Julai bagi membolehkan JDT memiliki tempoh rehat dua hari sebelum bertemu PJ City.
“Di pihak KLFA, kami prihatin dengan masalah dihadapi JDT dan saya tidak ada masalah untuk menerima keputusan ditetapkan MFL kerana sememangnya wajar beri sedikit ruang kepada JDT kerana ini adalah isu kesihatan, tidak boleh pandang ringan.
“ Ada hikmahnya juga aksi kami ditetapkan pada 13 Julai, sekurang-kurangnya kami akan bermain serentak dengan dua lagi pasukan yang sedang bersaing di zon penyingkiran iaitu PKNP dan Felda.
“Maka, fokus pemain tidak akan terasa terganggu sekiranya ketahui keputusan dua pasukan itu lebih awal, jadi ada baiknya bermain pada waktu serentak iaitu pada Sabtu,” katanya.
Sebagai rekod, Kuala Lumpur ketika ini di kedudukan kesebelas dengan 14 mata, satu mata di belakang PKNP FC.
Artikel penuh di : FoxSportsAsia