Mengulas mengenai perlawanan menentang JDT yang menyaksikan pasukannya tewas 0-3, Durakovic mengakui tidak begitu kecewa dengan pasukannya kerana sudah menunjukkan permainan yang bagus, namun pasukan lawan nyata lebih baik pada malam tadi.
“Kami bermain dengan baik, pada babak pertama kami mengawal permainan dan cipta beberapa peluang.
“Pujian bagi JDT kerana mereka memang pasukan yang bagus dengan pemain tempatan dan import yang hebat.
“Kita beri mereka sedikit ruang dan peluang mereka akan jaringkan gol dan itulah yang berlaku dengan mereka menjaringkan tiga gol cantik manakala kami cipta banyak peluang namun gagal jaringkan sebarang gol,” katanya.
Perak akan cuba harungi baki perlawanan liga musim ini sebaik mungkin walaupun menghadapi kesukaran susulan ketiadaan beberapa pemain yang mengalami kecederaan.
Lebih penting, skuad The Bos Gaurus itu turut bakal menghadapi perlawanan akhir Piala FA pada 27 Julai ini yang nyata memberi tekanan kepada pemain dan jurulatihnya Mehmed Durakovic.
Durakovic berkata, pihaknya bagaimanapun tidak terlampau memikirkan sangat perlawanan akhir itu sebaliknya akan bersedia untuk hadapi setiap perlawanan satu demi satu.
“Kami tiada pasukan yang besar, jadi kami perlu pastikan semua pemain bersedia bagi setiap perlawanan.
“Apabila tiba masanya kami akan fikirkan dan hadapinya (perlawanan akhir Piala FA) dan lakukan yang terbaik untuk perlawanan itu nanti,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, malam tadi.
Menurutnya, mengharungi baki beberapa perlawanan musim ini pastinya sukar dengan beberapa pemainnya yang cedera.
“Kami tidak cukup pemain untuk menggantikan mereka, namun walaupun diturunkan mereka akan berikan yang terbaik mungkin kerana inilah dunia bola sepak.
“Kami akan harungi baki perlawanan musim ini sebaik mungkin dan cuba menang setiap perlawanan,” katanya
Artikel penuh di : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz