Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan kuasa penyokong bakal menjadi penentu hala tuju bola sepak tempatan selepas pengendali Liga Malaysia ((Liga-M) itu memperkenalkan struktur hak penyiaran baru yang akan berkuat kuasa musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dalam satu kenyataan media berkata penyokong bola sepak tempatan akan diberikan ‘kuasa’ untuk menentukan hala tuju perbelanjaan selepas mereka melanggan pakej yang akan diperkenalkan nanti.
“Sudah lama sebenarnya dalam penyelidikan MFL mengenai isu penyokong, ramai yang mahu membantu tetapi tidak ada jalan yang jelas. Dengan adanya pelantar ini, segala sumbangan atau perbelanjaan penyokong akan disalurkan kepada pasukan-pasukan.
“Ada mekanisme untuk dibincang bagi memastikan pasukan penyokong mendapat imbuhan terus dan tambahan apabila penyokong itu mengambil bahagian dalam kejayaan program ini.
“Mungkin akan ada pilihan lain, contohnya penyokong mahu menaik taraf peralatan kamera di stadium, membangunkan akademi atau sebagainya sesuai mengikut kehendak penyokong tetapi ia masih dalam peringkat cadangan yang mana proses lengkap bermula 60 hari dari sekarang,” katanya.
Semalam, MFL mengumumkan kemasukan rakan kongsi baru, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC), dalam penstrukturan hak penyiaran Liga-M bermula musim 2020.
Menerusi penstrukturan semula itu, ia bakal menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna, khususnya penyokong bola sepak tempatan.
Sumber : BERNAMA, Foto : The Photoshooterz