Malam esok sudah pasti menjanjikan satu perlawanan dan pertembungan yang menarik antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak di Stadium Perak. Perak menanti JDT dengan penuh ‘dendam’ membara setiap kali bertemu JDT.

Namun perlawanan malam esok hanya untuk melengkapkan dan mengejar rekod tanpa kalah kerana JDT sudah terlebih dahulu menjuarai Liga Super 2019 selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stdium Hang Jebat.

Tewas 0-1 kepada JDT pada perlawanan pembukaan musim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, Februari lalu, Perak pastinya mahu kekalahan itu menanam dendam dan mahu ditebus pada pertembungan kali ini.

Stadium Perak pernah menyaksikan pasukan tuan rumah meleburkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT pada musim 2017/2018.

Perak berjaya mengumpul sembilan mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super dan pastinya mahu Stadium Perak kembali mencatat sejarah meleburkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah JDT dalam liga berkenaan musim ini.

Namun pengendali Perak, Mehmet Durakovic bersikap merendah diri dan menganggap pertembungan dengan Harimau Selatan itu sebagai saingan amat sengit untuk anak buahnya.

“Apa lagi yang boleh diperkatakan mengenai JDT, mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia, menang Liga Super enam musim berturut-turut, mempunyai ramai pemain tempatan dan import yang bagus, jurulatih yang bagus, kami harus menghormati mereka.

“Kami akan cuba beri yang terbaik, Perak akan beraksi dengan permainan bola sepak yang baik, pemain akan beri komitmen 100 peratus untuk perlawanan malam esok, insya-Allah (kami boleh menang), tiada siapa yang tahu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Durakovic tidak pasti sama ada dapat menurunkan tiga tonggak utama yang disisihkan pada pertembungan kedua Piala FA menentang Pahang, baru-baru ini, yang menyaksikan Pahang dibedil 3-0.

“Saya perlu melihat prestasi semasa tiga pemain itu iaitu Ronaldo Henrique Silva, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan, sama ada mereka cukup cergas untuk mengharungi 90 minit perlawanan.

Jika kelibat Ronaldo hampir pasti dapat ditagih, aksi dua pertahanan Nazirul Naim dan Amirul Azhan yang dibelenggu kecederaan sebelum ini akan diteliti terlebih dulu.

Dalam pada itu, Durakovic berharap perlawanan esok dapat berlangsung dengan semangat kesukanan tinggi terutama di kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

“Kita mahu perlawanan bola sepak menjadi titik penyatuan di kalangan semua peminat dan penyokong mana-mana pasukan, kita perlu memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing dengan semangat kesukanan,” katanya.

Pertembungan Perak dan JDT sebelum ini sering menimbulkan pergeseran antara kedua-dua penyokong sehingga terpaksa menerima kawalan ketat pihak keselamatan.

Sumber : Harian Metro