Perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United (MU) pada Rabu, 26 Jun lepas di Stadium Hang Jebat, Melaka masih dalam ingatan kita lagi. Dalam perlawanan tersebut, JDT berjaya menewaskan MU 2-1 dan seterusnya dinobatkan juara Liga Super 2019. Ia juga mencatatkan rekod kejuaraan enam musim berturut-turut sejak 2014.

JDT lebih awal dinobatkan juara sesangkan perlawanan Liga Super musim ini masih ada berbaki empat perlawanan lagi, dua di tempat lawan (Perak dan KL) dan dua di laman sendiri (PJ City dan Terengganu FC).

Serelah mennjuarai liga, kini JDT mengejar rekod tanpa kalah seperti yang dicapai pada musim 2016. Untuk mencatat rekod ‘Invincible’ itu tidak semudah itu kerana JDT akan berhadapan dengan ujian dan perlawanan getir dalam setiap empat baki perlawanan itu lebih-lebih lagi menentang Perak di Stadium Ipoh malam esok.

Laluan getir itu turut dipaparkan melalui laman rasmi JOHOR Southern Tigers : 

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengharungi empat lagi baki perlawanan pada bulan Julai ini sebelum Liga Super Malaysia 2019 menutup tirainya. Walaupun sudah dinobatkan sebagai juara liga untuk kali keenam, barisan pemain JDT masih lagi perlu fokus mengekalkan tahap kecergasan tanpa memandang remeh baki perlawanan berikutnya.

1. PERAK MENENTANG JDT (STADIUM IPOH, PERAK)

JDT bakal bertandang ke Stadium Ipoh, Perak pada 6 Julai 2019, menentang pasukan yang berada di tangga kelima Liga Super Malaysia. Cabaran getir menanti skuad Harimau Selatan memandangkan Perak memerlukan kutipan mata penuh bagi persaingan perebutan tangga kedua Liga Super Malaysia yang masih lagi terbuka.  

Bagi para pemain JDT pula yang baharu menerima suntikan moral berikutan perlawanan berprestij ‘JDT All-Stars Friendly’ tempoh hari, pastinya tidak akan memberi peluang bagi pesaing melunaskan impian tersebut. JDT tetap hadir dengan keinginan tinggi untuk meneruskan rentak kemenangan.

CABARAN GETIR MENANTI JDT DALAM BAKI PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA 2019Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, July 4, 2019

2. JDT MENENTANG PJ CITY FC (STADIUM TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)

Empat hari selepas perlawanan menentang Perak, JDT akan menerima kunjungan PJ City FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada hari Rabu, 10 Julai 2019. Perlawanan ini juga dilihat amat penting dalam misi mengekalkan rekod kebal dan kemenangan mutlak di halaman sendiri. 

Pastinya sokongan penuh ditagih dari penyokong Merah Biru untuk memenuhi stadium kebanggaan kita ini supaya diolah menjadi tonik pemacu semangat keseluruhan pemain Harimau Selatan untuk terus berjuang bermati-matian mempertahankan reputasi dan martabat Empayar Harimau Selatan.

3. KUALA LUMPUR MENENTANG JDT (STADIUM KLFA, CHERAS)

Selepas aksi di Stadium Larkin, JDT dijadualkan bertemu pasukan Kuala Lumpur FA (KLFA) di tempat lawan. Cabaran pasukan KLFA juga tidak boleh dipandang remeh memandang skuad itu terdesak untuk keluar dari kelompok dasar liga. 

Kemenangan 4-1 JDT ke atas KLFA pada pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019 adalah kemenangan paling besar yang telah dicatatkan oleh JDT pada musim ini. Namun rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran di mana keseluruhan barisan pemain perlu kekal fokus mempamerkan permainan membanggakan serta displin yang tinggi untuk menghadiahkan depresi kepada tuan rumah kelak.

4. JDT MENENTANG TERENGGANU FC (STADIUM TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)

Umum mengetahui, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah mengisytiharkan sambutan meraikan kejayaan terbilang sebagai juara keenam berturut-turut Liga Super Malaysia akan berlangsung pada 19 Julai 2019. 

Jangkaan tarikh yang sama Harimau Selatan akan melayani kunjungan Terengganu FC untuk perlawanan terakhir Liga Super musim ini di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Para penyokong diseru supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama-sama memberi sokongan padu agar menjadi memorabilia indah penutup musim cemerlang JDT pada tahun 2019. 

Akhir kata, perkara yang paling penting dalam mencapai impian adalah kebangkitan. Kerana elemen utama itu DYAM Tunku Mahkota Johor gubah untuk mencipta sebuah kejayaan. Semoga kita sentiasa setia bersama menyokong baginda dalam perjuangan memburu lebih banyak kejayaan pada masa depan. 

Selamanya Merah Biru!

Sumber artikel : Media JST

Foto : The Photoshooterz