Aksi persahabatan amal ‘JDT All-Stars’ yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini dilihat menjadi pentas beberapa pemain legenda melepaskan ‘gian’ mereka beraksi buat peminat.
Malah, rata-rata pemain legenda yang beraksi malam ini julung kalinya menjejakkan kaki ke Johor membuatkan mereka tidak sabar untuk beraksi, apatah lagi diberitahu penjualan tiket mendapat sambutan ramai.
Bagi bekas pertahanan dari Itali, Gianluca Zambrotta berkata, beliau berbesar hati untuk bermain buat julung kalinya di Johor terutama di hadapan peminatnya dan pada masa sama menganggap perlawanan amal malam ini penting.
“Saya baru sahaja tiba dari Itali pagi tadi dan berbesar hati untuk bermain bersama rakyat Johor serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada malam ini.
“Bukan mudah untuk melihat sukan bola sepak Malaysia yang semakin berkembang dan saya juga mengambil peluang melihat pemain tempatan, mana tahu mungkin ada yang layak bermain di Itali atau Eropah,” katanya ketika ditemui BH pada sesi pemain bersama media di sini, hari ini.
Antara pemain legenda yang hadir pada sesi pagi tadi ialah Marco Materrazi, Louis Saha, Esteban Cambiasso, David Trezeguet, Bebeto, Robert Pires, Claude Makelele dan Florent Malouda.
Bagi bekas bintang Perancis, Makelele menyifatkan aksi perlawanan amal malam ini sebagai peluangnya untuk menunjukkan kemahiran kepada semua peminat yang hadir.
“Ini peluang untuk saya beraksi di hadapan penonton khususnya peminat bola sepak di Malaysia selain pada masa sama berbesar hati untuk menjayakan kutipan amal bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Aksi persahabatan amal ‘JDT All-Stars’ yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini menyaksikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) TMJ bakal berdepan pasukan JDT Rest of the World.
Pasukan JDT TMJ turut diperkuatkan dengan tiga bekas bintang Perancis iaitu Pires, Makalele dan Malouda selain Tunku Ismail sendiri akan bermain di posisi tengah dan bergandingan Cambiasso, Materazzi serta Zambrotta.
Beberapa pemain JDT seperti penjaga gol, Farizal Marlias, La’Vere Corbin-Ong, Mauricio Nascimento, Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid turut berada dalam skuad JDT TMJ.
JDT Rest of the World turut dibarisi beberapa legenda bola sepak dunia antarannya Rivaldo, Claudio Caniggia, Edgar Davids dan Bebeto.
Penjaga gol kedua JDT, Izham Tarmizi ditugaskan sebagai penjaga gol JDT Rest of the World selain pemain Harimau Selatan yang lain termasuk Syazwan Andik Ishak, S Kunanlan dan Aidil Zafuan Abd Radzak.
Sumber : Berita Harian
Foto : JOHOR Southern Tigers