Menurut laporan berita dari akhbar Berita Harian 30 perlawanan terpilih dalam Liga Malaysia akan disiarkan oleh Singtel TV, TV penyiaran dari negara jiran Singapura. #0 perlawanan itu akan membabitkan perlawanan aksi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Siaran itu akan mula disiarkan esok menerusi saluran Mio Sports 111-113.

Pihak stesen penyiaran Singapura, Singtel TV menaruh minat antaranya kerana kehadiran pemain seperti kapten Singapura, Harris Harun yang beraksi bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan beberapa lagi rakan senegaranya yang sedang dalam aksi Liga Malaysia ketika ini.

Selain itu Safuwan Baharudin (Pahang), Khairul Amri Mohammad Kamal (FELDA United), Shakir Hamzah (Kedah) dan pengendali Helang Merah, Aidil Sharin Sahak menambah lagi minat Singtel TV untuk mendapatkan hak penyiaran.

Hariss Harun, pemain tengah JDT sudah pasti menjadi tarikan besar penyiar tersebut kerana hanya beliau seorang pemain dari Singapura yang bukan setakat menjuarai Liga Super enam musim berturut-turut bersama JDT, malah Hariss juga telah mengumpul juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut termasuk pada 2013 ketika bermain untuk Lions XII.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, beliau cukup teruja Liga M mendapat tumpuan positif daripada negara jiran dan berharap kerjasama itu memberi manfaat besar kepada semua penyokong bola sepak di Asia Tenggara.

“Musim 2019 menjadi sesuatu yang menarik dengan kehadiran beberapa bintang Singapura yang bermain di Malaysia. Kami sangat gembira melihat Singtel TV datang dalam perjalanan ini apabila kami berusaha untuk mempamerkan bola sepak Malaysia kepada penonton di luar negara. 

“Kami berharap ini adalah permulaan kerjasama panjang di luar musim ini,” katanya.

Perlawanan pertama akan disiarkan adalah aksi Piala FA antara Perak dan Pahang disusuli pertembungan FELDA dan Kedah.

Artikel penuh di : Berita Harian