Sememangnya menjadi perbualan dan satu persoalan bagi bukan sahaja setiap pasukan malah semua peminat bola sepak Malaysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super 2019 serta kejuaraan enam tahun berturut-turut.
Persoalannya adalah bagaimana pasukan-pasukan dari Liga Malaysia mahu bukan setakat menyamai malah memintas kejayaan JDT terutama dalam saingan Liga Super. Dilihat, JDT seolah-olah tiada pasukan lain yang dapat menghalang JDt dari terus merangkul kejuaraan Liga Super untuk tahun-tahun berikutnya sehingga kita tidak tahu sampai bila.
Adakah pasukan lain mahu berdiam diri melihat dominasi JDT itu atau mahu membiarkan ia berlaku begitu sahaja tanpa sebarang tindakan atau perancangan atau pun usaha menghambat JDT ? Perkara sebigini rasanya sudah beberapa tahun terjadi sejak JDT menjuarai buat kali ketiga, keempat, kelima dan hingga ke sekarang ini kali keenam berturut-turut.
Adakah mereka tiada usaha dan tidak mengambil sebarang pengajaran sebelum ini ? Atau mereka sudah kecewa ? Atau tiadanya kerjasama antara satu sama lain dari pihak pengurusan hinggalah ke pihak pemain ? Dan bilakah langkah-langkat positif mahu bermula ?
Namun sekali mereka berusaha, lebih dari itu JDT menjarakkan diri. Bak kata pemilik JDT sendiri, mereka berada 50 langkah di hadapan. Sepatutnya pasukan lain bertindak pro aktif menjadikan JDT sebagai penanda aras dan bersikap mahu berjaya lebih dari JDT itu sendiri.
Pada pandangan penulis, pasukan lain boleh mengimbangi JDT, namun mereka ketiadaan orang yang berkarisma dan komited seperti pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibn Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ). Itu sebenarnya membezakan antara pasukan lain dengan JDT. Komited dan keinginan TMJ jauh meninggalkan pasukan lain. Untuk melahirkan seseorang mengepalai dan menguruskan pasukan seperti TMJ sememangnya amat sukar.
Memetik dari akhbar Utusan Malaysia, “Sama ada Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri atau pesaing mereka ketinggalan selangkah di belakang.”
“Sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih Harimau Selatan pada 2013, banyak perubahan drastik dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, biarpun pada awalnya cara beliau kurang disenangi kerana dilihat seperti ‘merompak’ khazanah pasukan lain.” menurut akhbar itu lagi.
Berikut adalah laporan seterusnya dari Utusan Malaysia :
Bagaimanapun, jika pada beberapa tahun pertama Tunku Ismail cenderung menghimpunkan pemain-pemain terbaik tempatan, sehingga ada daripadanya sekadar menjadi pemanas bangku simpanan, namun sedikit demi sedikit beliau membina platform untuk membentuk skuad terbaik tanpa perlu terlalu berbelanja besar bagi membeli pemain.
Perkara asas paling penting yang sering diabaikan kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) tetapi jelas membawa perbezaan ketara buat JDT adalah menyediakan fasiliti bertaraf dunia kepada pemain.
Namun begitu, untuk menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang kepada pemain, sudah pasti kewangan yang amat kukuh memainkan peranan besar buat mana-mana pasukan yang mahu menyekat JDT daripada merangkul kejuaraan ketujuh berturut-turut musim depan.
Pasukan seperti Pahang, Kedah, Selangor, Perak dan Melaka United yang sepatutnya menjadi pencabar utama Harimau Selatan musim ini sudah boleh memikirkan perancangan untuk menghadapi tahun 2020 sekiranya enggan dikecewakan lagi.
Berikut juga antara kata-kata dari orang kuat bola sepak dari beberapa pasukan menjelaskan mengapa JDT boleh bertahan dan maju seperti sekarang ini.
Fasiliti, Kewangan Perlu Kukuh (B. Sathianathan, Jurulatih Selangor) :
“Sudah tentu, memiliki fasiliti terbaik dan sumber kewangan yang kukuh antara faktor paling penting.
“Dana disalur kepada satu pasukan sahaja bagi membentuk skuad terkuat. Untuk mencabar JDT, semua pasukan perlu membuat pelaburan besar kepada pasukan utama, fasiliti dan teknikal.
** Sememangnya tidak boleh dinafikan berkaitan dengan kewangan. Namun kewangan yang kukuh sahaja tidak memadai jika tidak pandai mengurus kewangan dan terlalu banyak ketirisan. Yang penting pandai mengurus kewangan, jujur dan ikhlas.
** Fasiliti yang baik juga perlu seiring dengan penyelenggaraan berkala dan berterusan dan bukanya penyediaan diperingkat awal sahaja dan terbiar begitu sahaja selepas fasiliti disiapkan.
Sumber Kewangan JDT Faktor Utama Kejuaraan 6 Kali (Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, Pengurus Kedah)
“Harus diakui bahawa pasukan JDT mempunyai sumber kewangan yang kukuh, antara faktor menyumbang kemenangan enam kali berturut-turut.
“Mereka mempunyai pemain dan pengurusan yang berkualiti yang boleh saya katakan ‘sempurna’ dari atas sampai bawah.
** Untuk memperoleh sumber kewangan yang kukuh, pasukan perlu menunjukkan komitmen dan kesungguhan serta kejayaan terlebih dahulu. Kerana tiada penyumbang dana yang mahu menyalurkan dana sekiranya tiada menampakkan sebarang usaha dan kejayaan sesebuah pasukan itu.
Pemain Utama, Simpanan, Import Kena Mantap (Mohd Nidzam Jamil, Jurulatih Felda United)
“Setiap pasukan harus mempunyai pemain muda, import dan barisan simpanan yang lebih mantap kalau mahu mendapatkan keputusan baik dalam setiap perlawanan.
“Itulah kelebihan yang ada pada JDT kerana mereka juga memiliki barisan simpanan yang kuat”.
** Pemain yang mantap terhasil dari modul latihan, persekitaran yang positif, ada misi dan visi yang jelas selain daripada kebolehan seseorang pemain itu. Pemain yang baik tanpa bimbingan yang betul dan persekitaran yang positif, pemain itu sukar meningkat permainannya.
Sumber dari artikel : Utusan Malaysia
Foto : ThePhotoshooterz