Kemenangan pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-0 terhadap UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) malam tadi membolehkan mereka melonjak semula ke tangga teratas Liga Perdana 2019.

Walaupun begitu, pencabar terdekat, Sabah masih ada kekurangan 2 perlawanan dan berada 2 mata di bawah JDT II.

Satu perkara lain yang membuatkan ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban gembira adalah penampilan pemain muda JDT II, Ramadhan Saifullah Usman. 

Ramadhan Saifullah Usman berjaya menjaringkan satu gol selepas pasukan itu menewaskan UiTM FC.

Boban memuji dan teruja dengan kelincahan dan corak permainan pemain muda berusia 19 tahun itu yang langsung tidak kekok beraksi di posisI sayap kanan apabila sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad kendalian Ismail Zakaria.

Dalam temuramah yang dipetik melalui akhbar Berita Harian, Ervin Boban memberikan pendapat beliau.

“Biarpun masih muda, tapi Ramadhan begitu matang beraksi dan memperagakan aksi terbaik apabila sering memberi tekanan kepada pasukan lawan yang terpaksa bertungkus lumus menyekat pemain itu.

“Malah ada satu ketika sehingga dua pemain UiTM FC cuba menghalang dia namun pemain itu bijak meloloskan diri dan itu yang kita mahu di JDT II iaitu memberi peluang kepada pemain muda beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Ia penting untuk memberi pendedahan dan saya kerap menurunkan Ramadhan kerana dia begitu komtimed apabila diturunkan dalam setiap perlawanan. Tapi masih ada ruang untuk dia memperbaiki lagi corak permainan,” katanya.

“Aksi menentang Sabah ibarat perlawanan hidup dan mati buat JDT II. Jika kita menang mungkin ada peluang untuk berada di tangga teratas dan baki dua lagi perlawanan menjadi penentu. Apapun saya berharap kita mampu lakukan kejutan pada musim ini,” kata Boban.

Boban menambah sudah tiba masanya untuk meneruskan keinginan bagi memburu kejuaraan Liga Perdana dan akan membuat persiapan lebih rapi apabila berdepan Sabah pada aksi di laman sendiri, 5 Julai ini.

Kesebelasan Utama JDT II : Haziq Nadzli, Che Rashid Che Halim, Bruno Soares, Nicolás Alberto Fernández, Kumaahran Sathasivam, Fazly Mazlan, Shakir Shaari (C), Mohammed Ghaddar, Syazwan Andik, Kiko Insa, Ramadhan Saifullah Usman

Artikel penuh di : Berita Harian

Foto : Berita Harian