Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan terpaksa mengubah strategi bagi memperkukuh jentera pertahanan selepas tonggaknya Dominik Balic tidak dapat diturunkan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Rabu ini.
Zainal berkata, kehilangan pemain pertahanan tengah kelahiran Croatia itu yang menyertai MU pada perpindahan kedua liga Mei lalu amat dirasai susulan sumbangan cemerlangnya.
Begitupun, kata bekas pemain kebangsaan itu, ketiadaan Balic yang digantung perlawanan tidak akan ditangisi kerana MU memiliki beberapa pilihan di posisi berkenaan tetapi penting semua pemain bersedia untuk diturunkan bagi mengawal Harimau Selatan yang memiliki barisan depan dan tengah berbisa.
“Apa yang pasti setiap pemain yang disenaraikan perlu beraksi dengan berhati-hati dan bijak membaca setiap perencanaan barisan pelawat yang pintar memasuki kawasan pasukan ataupun mencari peluang sebelum melakukan percubaan ke kubu lawan,” kata Zainal.
“Jika setiap usaha mereka mampu ditutup lebih awal, gawang pasukan akan terselamat. Malah saya sentiasa percaya kepada semua pemain yang diberi tugasan berkenaan untuk menjalankan tugasan dengan efektif.”
Zainal berkata, keseluruhan barisan pemain sudah bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi ujian getir terbabit tambahan semua anak didiknya bebas daripada sebarang kecederaan.
Justeru, dia yakin skuad Hang Tuah mampu beraksi dengan cemerlang untuk melayan lawan yang kini menuju laluan cerah untuk dinobatkan sebagai juara liga.
Skuad Harimau Selatan yang semakin hampir untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut dilihat hanya memerlukan dua kemenangan selepas mengumpul 43 mata keseluruhan setakat ini.
Artikel penuh di : Berita Harian
Foto : Melaka United (MUSA)