Memetik laporan dari akhbar Utusan Malaysia yang mewawancara pengendali Selangor, B. Sathianathan, beliau percaya, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya menunggu masa untuk dinobat sebagai juara kali keenam berturut-turut.
Beliau dengan bersahaja turut menasihatkan pasukan lain supaya mula memikirkan perancangan menghadapi musim 2020 serta cuba mencabar dan mencari peluang dalam saingan Piala Malaysia yang akan menjadi penutup tirai Liga Malaysia (Liga M) yang dijangkakan bermula sebaik sahaja tamat saingan liga.
JDT sedang mengungguli Liga Super dengan 43 mata, selepas mengharungi 17 perlawanan dan 13 mata meninggalkan pasukan tangga kedua, Pahang yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Untuk pasukan lain mencabar JDT dalam kejuaraan liga musim ini mungkin misi mustahil kerana jurang mata sangat jauh dan mereka hanya perlukan dua kemenangan untuk bergelar juara.” kata B. Sathianathan
“Tapi bagi persaingan tempat kedua, ketiga dan keempat masih terbuka. Untuk sasaran peribadi, saya mahu Selangor berada di kedudukan ketiga musim ini.
Perebutan tangga kedua, ketiga dan keempat masih terbuka dan antara pasukan yang sedang dalam perebutan adalah Pahang, Kedah, Melaka, Selangor dan Perak.
“Jika kita lihat tiga musim sebelum ini, Selangor gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, jadi dapat berada di tangga ketiga adalah kedudukan terbaik.
Sementara itu Sathianathan mensasarkan pasukan Selangor ke final Piala Malaysia nanti.
JDT hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengekalkan trofi Liga Super di Johor, bagaimanapun mereka perlu bertandang ke tempat lawan dalam tiga daripada lima baki saingan.
Sathianathan mengakui, fasiliti terbaik antara faktor penting, selain sumber kewangan kukuh.
“Saya juga menyambut baik cadangan YB Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) mahu memberi tumpukan kepada satu pasukan utama dan pasukan lain menjadi ‘feeder’ (kelab pembangunan).
“Dana disalur kepada satu pasukan sahaja bagi membentuk skuad terkuat. Untuk mencabar JDT, semua pasukan perlu membuat pelaburan besar kepada pasukan utama, fasiliti dan teknikal.
“Selangor tidak ketinggalan jauh dan mampu mencapainya, perubahan mula dilihat sejak di bawah pimpinan RMS (Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddn Idris Shah),” jelasnya.
Sumber : Utusan Malaysia
Kredit foto : Selangor FA