Pahang merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mengatasi wakil Perak, PKNP FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lepas.

Kemenangan kelapan daripada 16 perlawanan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah kekal berada pada tangga kedua dengan kutipan 30 mata

** Pahang ada baki 6 perlawanan lagi. Sekiranya Pahang menang kesemua baki 6 perlawanan tersebut, maka jumlah mata akan menjadi 48.

** Mata terkini JDT adalah 43 mata. Ini bermakna JDT perlu 6 mata lagi untuk memintas mata maksimum yang boleh Pahang kutip. 

6 mata itu juga bermakna 2 kemenangan daripada baki 5 perlawanan JDT yang perlu dimenangi.

Kita ikuti laporan semua perlawanan LS17 minggu ini. =====

Pada aksi di Kuantan, Pahang membuka tirai jaringan menerusi pemain import baharu, Lazarus Kaimbi pada minit ke-20, sebelum penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-30.

Kedah pula memintas kedudukan Selangor di tangga ketiga carta Liga Super selepas menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Tiga gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar seawal minit kesembilan perlawanan, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin (minit ke-69) dan Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-90.

Dua gol pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Kpah Sean Sherman menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 dan gol padang pada minit ke-65.

Perak pula memintas kedudukan Melaka di tangga kelima setelah menang bergaya 3-1 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol skuad ‘The Bos Gaurus’ dijaringkan oleh kapten pasukan, Shahrul Mohd Saad pada minit ke-34 serta dua gol pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-69 dan minit ke-77.

TFC berjaya merapatkan jurang menerusi pemain kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin pada minit ke-88.Perak sebelum itu berpeluang menambah jaringan pada minit ke-49, namun sepakan penalti yang diambil Raianderson da Costa Morais ditepis penjaga gol TFC, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Terdahulu, TFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Dechi Marcel N’Guessan dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin pada minit ke-27 kerana mengasari pemain Perak, Leandro Dos Santos.

Petaling Jaya City FC (PJ City FC) turut meraih tiga mata selepas menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hasil tandukan bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee Sali pada minit terakhir babak pertama perlawanan.

Terdahulu, PJ City FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Nasriq Baharom dilayangkan kad merah pada minit ke-63 kerana mengasari pemain pelawat.

Di Stadium Larkin malam tadi, JDT menewaskan Selangor 3-2. Tiga gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez dan Safawi. Manakala Selangor beroleh 2 gol dari set pieces iaitu Khyrl (sepak percuma) dan Sandro (penalti). 

Foto : Pahang FA