Johor Darul Ta’zim (JDT) mencapai kemenangan terhadap Selangor 3-2 malam tadi pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Namun begitu pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa masih belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh pasukan beliau itu.

“Kemenangan itu memang penting buat JDT untuk menjarakkan kutipan mata dengan Pahang namun corak permainan agak longgar apabila Selangor mampu mencipta gol untuk merapatkan jurang jaringan.” kata Figueroa.

“Sudah tentu gembira dengan kemenangan it. Namun masih ada kelemahan yang saya lihat menyebabkan pasukan lawan mampu menjaringkan gol dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku tatkala kita beraksi di laman sendiri.

“Kami bermula dengan baik pada awal babak pertama apabila menjaringkan dua gol pantas. Bagaimanapun momentum permainan barisan pemain saya mula kendur dan membuka ruang buat lawan mengatur gerakan berbahaya.

“Kena perbaiki segera kerana ia kerap berlaku dalam perlawanan yang diharungi dan ia cukup bahaya. Kami tidak boleh ulangi lagi corak permainan tidak konsisten malah harus lebih agresif dari mula hingga tamat perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Figueroa memuji corak permainan skuad kendalian B Sathianathan yang bermain taktikal menarik dengan permainan terbuka tanpa beraksi secara negatif sekali gus merancakkan lagi perlawanan itu.

Figueroa berpuas hati dengan persembahan Nazmi Faiz Mansor yang beraksi di posisi tengah menggantikan Afiq Fazail yang diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan. Nazmi bergandingan dengan baik bersama kapten Hariss Harun dan Leandro Velazquez.

Ditanya sama ada baki dua perlawanan bakal ditempuh skuad Harimau Selatan 

Apabila ditanya, Figueroa menganggap perlawanan menentang Melaka United, Rabu ini dan Perak, 7 Julai ini akan lebih sukar kerana perlu menang bagi mengesahkan kejuaraan liga kali keenam berturut-turut. 

Dua perlawanan berikutnya itu akan berlangsung di tempat lawan di Melaka dan Perak. Ini agak getir buat JDT lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan sedang beraksi dengan keputusan yang baik akhir-akhir ini. Perak menang dua perlawanan terakhir dan Melaka baru sahaja menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di tempat lawan.

Bagaimanapun Figueroa enggan terlalu memikirkan tentang perlawanan tersebut lagi.

Artikel Asal : Berita Harian